
KEMAMAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, parti-parti dalam kerajaan yang ada pada hari ini termasuk Umno sudah hilang arah tujuan dalam mengemudi bahtera parti masing-masing.
Menurutnya, terkini Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz keluar Umno dengan melepaskan jawatan dalam parti itu, menunjukkan keadaan dalaman parti berkenaan semakin tidak menentu.
“Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi keluarkan kenyataan, menyatakan tidak berpuas hati, kerana Tengku Zafrul ni keluar menyatakan terang dan jelas, keluar daripada Umno untuk masuk PKR.
“Kita kena tengoklah drama lagu mana pula… Umno tidak berpuas hati dan menganggap bahawa ini merupakan suatu ancaman terhadap kerajaan ‘perpaduan’,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT) 1.0 di Padang Astaka, Cukai, di sini malam tadi.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pada hakikatnya Umno tidak lagi dihargai oleh PKR dan DAP dalam Kerajaan Campuran, termasuk di Terengganu sendiri.
“Kita nak nyatakan kepada Umno bahawa bagi pihak kerajaan yang ada, PKR dan DAP ni, mereka tak pandang pun Umno, percayalah. Betul dak tuan-tuan sekarang? Tak pandang pun.
“Orang Kemaman pun tahu, Pengerusi KETENGAH ni boleh ke siapa dia dah? Saya yakin siapa saja pengerusi, Kerajaan Negeri Terengganu akan berurusan dengan baik. Tak ada masalah,” jelasnya.
Beliau turut menyindir peranan Umno Terengganu dalam Kerajaan Campuran dan menganggap ia tidak bernilai di mata kepimpinan kerajaan pusat.
“Tolong khabar setara itu jah PMX duk tengok kepada Umno Terengganu. Jawab dia, Umno Terengganu ni tak ada apa satu di mata pandangan kerajaan PKR, kerajaan PMX. Betul tak? Itu baru satu contoh, banyak lagi.
“Saya sebut itu sebab kita berada di Kemaman. Takkanlah Datuk Zahid sendiri sebagai Presiden Umno tak boleh pertahankan maruah Pengerusi Umno Terengganu. Malu kat orang,” terangnya.
Menurutnya, tindakan Tengku Zafrul yang menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), keluar Umno untuk menyertai PKR seolah-olah memperlekehkan parti lamanya.
“Tengku Zafrul keluar daripada Umno sebut jelas dan terang. Eh, orang betina kalau nak cerai, minta dengan hakim, dia tak royak ‘saya minta cerai ni tuan hakim sebab saya nak nikah dengan kawan itu’. Allah… tak royak lagu itu.
“Paling tidak dia kata suami saya ni kentut busuk, kentut dalam selimut, boleh royaklah apa-apa semua. Tapi dia tak akan sebut, saya nak pisah dengan suami saya ni, sebab apa? Sebab saya nak menikah dengan si A, si B.
“Kalaulah isteri sebut lagu itu, maknanya dalam erti kata lain tuan-tuan sekalian, dia nak malukan bekas suaminya, atau suaminya itu bagi dia tak ada maruah apa satu,” katanya.
Beliau menggesa ahli dan pimpinan Umno supaya sedar bahawa parti itu tidak dihormati oleh rakan komponen Kerajaan Campuran yang terdiri bersama PKR, DAP dan PAN
“Percayalah, kepada di mata Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di mata PMX, di mata DAP, Umno tidak lebih melainkan hanyalah merupakan perkakas yang dijadikan alat untuk membentuk kerajaan semata-mata. Itu sahaja,” terangnya lagi.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, sudah sampai masanya pemimpin Melayu Islam membentuk kesatuan besar di bawah panji perpaduan ummah.
“Saya bagi pihak PAS dan juga kepimpinan yang ada, biarlah suara ini sampai kepada kesemua pemimpin Melayu Islam bahawa sudah masanya kita membentuk kesatuan Melayu Islam di bawah naungan payung besar yang akan meliputi perpaduan ummah.
“Sampai masanya. Kalau tidak, bila lagi? Kita nak harapkan minoriti yang menguasai majoriti yang ada di Malaysia yang ada pada hari ini? Nak harap bila lagi?
“Sampai bila kita nak harapkan budaya politik yang ada pada hari ini hasil kerana apa? Kerana minoriti yang ada cuba untuk menguasai majoriti,” katanya.
Beliau menegaskan PAS sentiasa terbuka untuk perbincangan termasuk dengan Umno demi membina semula kekuatan politik Melayu Islam.
“Banyak formula kita boleh buat, tapi perbincangan boleh dilakukan, tak ada masalah. Orang kata bahawa eh PAS nak baik dengan Umno dah ke? Eh dulu kan kamu kata Datuk Zahid ni… ooh, 47 kes, Datuk Zahid ni begini-begini.
“Datuk Zahid ni 47 kes ni telah disucikan oleh PMX sendiri, oleh kerajaan sendiri. Betul dak? Kerajaan yang ada pada hari ini telah pun mengeluarkan ataupun telah menarik balik pendakwaan terhadap Datuk Zahid,” terangnya.
Katanya, walaupun PAS mempunyai pandangan tersendiri mengenai pembebasan Ahmad Zahid, beliau menegaskan keputusan itu dibuat oleh Peguam Negara.
“Bagi kita, kita adalah pandangan-pandangan tertentu terhadap pembebasan dan juga stand yang telah pun dibuat oleh Peguam Negara terhadap kes Datuk Zahid. Tetapi yang mensucikan Presiden Umno ialah Peguam Negara yang ada pada hari ini. Bukannya orang lain.
“Ertinya, kalaulah tiba-tiba berlakunya suatu ‘move’ daripada Umno untuk meninggalkan kerajaan yang ada pada hari ini, kamu yang ada di dalam kerajaan, kamu tidak boleh nak berkata apa-apa. Kalau berlaku. Tapi saya tak terasa benda itu boleh berlaku tiba-tiba,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/5/2025











