
KUALA LUMPUR: Dato’ Ridza Abdoh Salleh menempelak keputusan lewat Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli meletakkan jawatan dari Kabinet, dengan menyifatkannya sebagai tindakan yang sudah terlambat setelah rakyat hilang kepercayaan terhadap segala janji kosong dibuat.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana itu berkata, Menteri Ekonomi tersebut seharusnya meletak jawatan sejak setahun lalu apabila gagal mengemukakan sebarang ‘formula’ penyelesaian seperti dicanangkannya sebelum ini.
“Kalau formula itu tidak berjaya sekalipun setelah dicuba, itu masih boleh diterima rakyat. Tetapi dalam kes Rafizi, formula pun tidak pernah wujud. Beliau hanya berdiam diri seolah-olah tidak pernah membuat janji kepada rakyat,” katanya.
Mengulas lanjut, Dato’ Ridza malah turut menyamakan janji Rafizi seperti seseorang yang menyuruh rakannya terjun ke dalam kolam dengan janji akan menyelamatkannya daripada lemas, sedangkan dia sendiri tidak tahu berenang.
“Itu bukan sekadar gagal, itu satu penipuan. Dan dalam apa jua sistem moral dan undang-undang, penipuan adalah jenayah,” tegasnya turut membidas budaya politik negara yang semakin luntur nilai integritinya.
Beliau berkata demikian kerana pemimpin yang gagal menunaikan tanggungjawab bukan sahaja tidak dikenakan tindakan, malah terus disanjung oleh sebahagian masyarakat.
Politik Malaysia dipenuhi penjenayah
Dato’ Ridza turut membandingkan situasi ini dengan beberapa kes berprofil tinggi yang menurutnya telah menunjukkan ahli politik di Malaysia dapat ‘mengelak dan terlepas’ daripada hukuman, walaupun terpalit dengan pelbagai skandal.
“Mereka ini tidak pernah menunjukkan sekelumit pun rasa bersalah atau malu terhadap rakyat. Malah, ada pula segelintir rakyat yang mempertahankan mereka dengan slogan seperti ‘Apa Malu Bossku’,” ujar beliau sinis.
Beliau melahirkan rasa bimbang terhadap fenomena baharu ini, yang disifatkannya sebagai ‘barah sosial’ yang sedang merebak dalam masyarakat.
Jelasnya, adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk menolak segala bentuk penipuan politik dan bangkit mempertahankan maruah mereka daripada terus dipermainkan oleh ahli politik yang tidak bermoral.
“Fenomena menerima penipuan daripada ahli politik ini mesti dihentikan serta-merta. Kalau tidak, kita akan jadi masyarakat yang mempercayai penipuan ciptaan kita sendiri secara rela dan dengan penuh kegembiraan,” tegasnya lagi.
Dalam kenyataannya itu juga, beliau turut menyindir bahawa peletakan jawatan Rafizi mungkin berpunca daripada pergolakan dalaman parti, yang disifatkannya seperti ‘parti keluarga’.
“Jika benar beliau disingkir kerana perebutan kuasa dalam parti, maka itu bukan urusan rakyat. Apa yang rakyat mahukan ialah pemimpin yang jujur, amanah dan bertanggungjawab.
“Bukan pelakon politik yang gagal dan kemudian hilang begitu sahaja,” bidasnya turut menzahirkan kebimbangan bahawa sistem politik negara kini semakin jauh daripada nilai-nilai moral dan akhlak yang sepatutnya menjadi tunjang dalam pentadbiran dan kepimpinan.
Menurut beliau, sekiranya memeriksa semua sekolah di Malaysia dari peringkat rendah hingga ke universiti, masyarakat akan dapati penipuan itu salah dari segi akhlak dan undang-undang.
“Tapi bila pelajar ini keluar, masuk politik, mereka boleh berubah menyokong penipuan secara terbuka. Apa sudah jadi dengan masyarakat kita?” soal beliau. – HARAKAHDAILY 31/5/2025











