Mohon imuniti: PMX cemar kredibiliti pemimpin, negara

- Advertisement -

SHAH ALAM: PAS Negeri Selangor kesal di atas tindakan luar biasa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi sama ada beliau berhak mendapat kekebalan daripada saman sivil.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Sabirin Marsono berkata, permohonan itu dibuat hanya beberapa hari sebelum perbicaraan kes serangan seksual difailkan bekas pembantunya, Muhammed Yusoff Rawther yang dijadualkan pada 12 Jun 2025.

“Belum pernah ada kes ‘precedent’ (dahuluan) di mana-mana negara di seluruh dunia oleh seorang pemimpin negara ini adalah merupakan cubaan PMX. Menyalahgunakan kuasa politik untuk menutup kesalahan peribadi beliau dan mengelak daripada proses keadilan undang-undang.

“Ternyata PMX bukanlah seorang pejuang keadilan atau pun seorang reformis apabila menjadi seorang yang sangat penakut terhadap prosiding mahkamah yang membabitkan kes Yusoff Rawther ini.

“Tidak ada sebab dan alasan untuk menghalang beliau membela diri sekiranya beliau mampu membuktikan tuduhan Yusoff Rawther adalah palsu,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, PAS Selangor menuntut PMX agar menarik semula permohonan imuniti itu demi menjaga nama baik negara, masa depan sistem kehakiman dan keyakinan masyarakat antarabangsa dan pelabur luar terhadap Malaysia.

“Tindakan PMX meneruskan permohonan ini hanya akan membuktikan laungan reformasi Madani hanyalah retorik politik semata-mata dan Kerajaan Madani gagal menjulang prinsip keadilan yang diperjuangkan,” ujarnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dilaporkan memohon Mahkamah Tinggi supaya merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk ditentukan.

Beliau antara lainnya mahu mahkamah tertinggi itu memutuskan sama ada Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberi beliau kekebalan bersyarat daripada saman difailkan Yusoff Rawther, empat tahun lalu. – HARAKAHDAILY 31/5/2025

- Advertisement -