
KOTA BHARU: Dasar Sukan Negeri Kelantan perlu digarap dengan pendekatan futuristik dan berdaya tahan bagi menghadapi dunia yang penuh cabaran dengan perubahan mendadak atau dikenali sebagai dunia VUCA.
Secara ringkasnya VUCA bermaksud ‘volatility’ (ketidakstabilan), ‘uncertainty’ (ketidakpastian), ‘complexity’ (kerumitan), dan ‘ambiguity’ (kesamaran), dengan setiap satu elemen ini boleh dicerapkan dalam situasi yang melanda negara dan dunia
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat Negeri, Zamakhshari Muhammad berkata, pendekatan tradisional tidak lagi memadai untuk merancang masa depan sukan di negeri ini.
“Kita perlu merancang untuk masa depan dengan mengambil kira senario-senario yang mungkin berlaku, cabaran yang tidak dijangka dan potensi yang belum dimanfaatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Perjanjian (MoA) Pembangunan Dasar dan Polisi Sukan Mesra Islam Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim.
Majlis pertukaran berkenaan dilakukan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Ahmad Adlee Yasin mewakili kerajaan negeri dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Dr Kaharudin Dimyati mewakili Universiti Malaya (UM).
Menurut Zamakhshari, dalam kerangka Kelantan Sejahtera 2033, dua kuasa penggerak utama telah dikenal pasti sebagai asas pembentukan polisi negeri iaitu kepimpinan ulama sebagai peneraju utama nilai dan dasar negeri serta kelestarian sumber sebagai kekuatan utama tadbir urus.
Maka katanya, dasar sukan juga perlu menjiwai nilai-nilai ini dengan meletakkan pembangunan rohani dan jasmani sebagai satu pakej yang seimbang dan inklusif.
Menurutnya, sukan mampu menjadi salah satu cabang ekonomi baharu melalui penjanaan peluang pekerjaan, peningkatan pelancongan sukan dan pemerkasaan industri sukan tempatan.
“Sukan harus dilihat sebagai sebahagian daripada ekosistem pembangunan insan dan kesejahteraan rakyat, bukan sebagai aktiviti sampingan semata-mata,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, PBT, sekolah, universiti, NGO dan komuniti, dasar ini akan memperkasa generasi belia Kelantan ke arah yang lebih baik.
Dalam perkembangan berkaitan, Zamakhshari turut mengumumkan Kelantan akan menjadi tuan rumah temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada tahun 2028.
Katanya, penganjuran itu bukan hanya tertumpu kepada aspek teknikal dan logistik semata-mata, tetapi sebagai satu usaha menyeluruh untuk menonjolkan identiti negeri ini sebagai sebuah negeri Islam yang progresif dan bersatu hati.
“Dasar Sukan Mesra Islam akan menjadi kompas utama memastikan SUKMA 2028 benar-benar mencerminkan identiti Kelantan sebagai negeri Islam yang terbuka dan inklusif,” jelas beliau.
Zamakhshari berkata, dasar itu akan mengangkat SUKMA sebagai temasya yang bukan sahaja berjaya dari sudut prestasi, malah menjadi contoh teladan dalam aspek nilai, adab dan kesatuan masyarakat.
Beliau juga menegaskan bahawa kerjasama erat antara industri sukan dan pelancongan sangat penting dalam membina ekosistem sukan yang holistik dan berimpak tinggi.
Zamakhshari turut mengajak semua pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, NGO, pemimpin komuniti, persatuan sukan dan rakyat untuk mendukung dasar sukan ini demi membina suasana kesukanan yang sihat, inklusif dan progresif.
“Kelantan bertekad menjadi pelopor kepada model sukan Islamik yang moden dan berdaya saing,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apam Putra.
Tambah beliau, kerjasama strategik dengan Universiti Malaya merupakan langkah bijak yang akan memperkukuh pelaksanaan dasar, khususnya menjelang penganjuran SUKMA 2028.
“Kita mahu menganjurkan SUKMA yang cemerlang dari sudut organisasi, nilai akhlak dan penerimaan masyarakat. Dasar ini akan menjadi kompas penganjuran berteraskan mesra Islam dan nilai-nilai inklusif,” katanya.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya Universiti Malaya atas sumbangan kepakaran, penyelidikan dan pemikiran strategik.
Sementara itu, Dr Kaharudin berkata, UM mengambil peranan utama dalam pembangunan dasar Sukan Mesra Islam menerusi projek rintis yang berimpak tinggi melibatkan penyelidikan, garis panduan, dan model pelaksanaan bertaraf kebangsaan serta antarabangsa.
Katanya, dasar tersebut dibina dengan berteraskan nilai akhlak, etika dan prinsip syariah yang menjadi asas dalam segala aspek pengurusan, latihan dan penganjuran sukan.
Menurutnya, ia merupakan hasil buah fikir berani, progresif dan futuristik yang bukan sahaja menekankan prestasi dan pencapaian atlet, malah turut merangkumi dimensi kesedaran syariah.
Beliau merujuk pemakaian menutup aurat, penyusunan masa latihan berteraskan ibadah, pemakanan halal, serta garis panduan media dan siaran sukan.
“Kami di UM merasa amat terhormat untuk terlibat dalam projek ini. Dengan kekuatan sumber manusia dan kepakaran dalam pelbagai disiplin seperti sains sukan, etika Islam, kejurulatihan serta kajian syariah, kami komited menjayakan dasar ini,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM, Prof Dr Nor Aziah Alias, Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaya, Dr Mohd Fadli Ghani, dan Pengarah Urusan Taqwa Sdn Bhd, Roslan Ibrahim. – HARAKAHDAILY 30/5/2025




















