Kelantan setuju laksana Akta 672 urus sisa pepejal

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri secar dasar setuju untuk membuka semula pintu rundingan bagi melaksanakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 atau Akta 672 bersama Kerajaan Persekutuan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, perkara itu diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang bersidang pada Mac lalu.

Beliau berkata rundingan bakal diadakan kelak membabitkan syarat lebih ketat bagi memastikan hak kerajaan negeri untuk mendapatkan geran dan peruntukan selain melaksanakan Dasar Kebersihan Negara.

“Insyallah kali ini kita akan pastikan hak dan kepentingan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan rakyat akan sentiasa terjamin dan terpelihara serta dapat menikmati geran bantuan bersama negeri lain.

“Akta 672 bukan hanya berkaitan kutipan sampah tetapi juga berkaitan bidang kuasa, kedaulatan dan tanggungjawab persekutuan, negeri dan PBT,” katanya semalam.

Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu mempengerusikan Taklimat dan Sesi Libat Urus PBT Kelantan bersama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JSPN) di Kompleks Kota Darulnaim.

Beliau berkata, akta tersebut merupakan satu peraturan di negara ini membicarakan mengenai pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam yang memperkenalkan konsep federalisasi dan penswastaan.

Menerusi langkah tersebut kerajaan negeri diwajibkan untuk menyerahkan kuasa eksekutifnya kepada Kerajaan Persekutuan dan enakmen dipinda bagi meletak hak bidang kuasa itu kepada persekutuan.

“Persekutuan akan mengambil alih bidang kuasa kerajaan negeri dan PBT bukan hanya kutipan sampah dan pembersihan awam sahaja tetapi kuasa negeri dan PBT dalam Perlembagaan Malaysia.

“Sekarang ini lima negeri di Semenanjung yang masih belum menandatangani Akta 672 Selangor Pulau Pinang, Perak, Terengganu termasuk Kelantan manakala tujuh negeri menerima,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/5/2025

- Advertisement -