
GERIK: Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob menggesa agar siasatan terbuka dilakukan terhadap dakwaan pembaziran dana Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan menegaskan bahawa dana awam tidak seharusnya disalah guna untuk tujuan politik mahupun kos guaman bagi menangkis kritikan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) bagi Portfolio Luar Bandar menegaskan bahawa dana MARA adalah ‘wang rakyat’ yang sewajarnya disalurkan kepada perkara bermanfaat seperti tajaan pelajar, biasiswa, dan bantuan kepada Bumiputera memerlukan.
“Saya agak terkejut membaca laporan akhbar kelmarin. Saya tidak berpihak, tetapi saya menyokong penuh siasatan jika benar wujud pembaziran dana MARA,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas pandangan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin, beliau menyifatkannya sebagai berasas, khususnya dalam menegur tindakan dan cara pengurusan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Beliau (Asyraf) selaku Pengerusi MARA – jawatan bukan eksekutif – dilihat mencampuri urusan eksekutif dan pelbagai perbelanjaan program MARA. Di Gerik ini contohnya, semua program kelihatan menonjolkan peranan beliau, termasuk merasmikan mesyuarat PIBG sekolah,” katanya.
Fathul Huzir turut membandingkan nasib wakil rakyat dan ADUN tempatan yang tidak diberikan ruang sedemikian.
Menurut beliau, banyak program melibatkan agensi MARA sering kali dianjurkan di kawasan Gerik dan Pengkalan Hulu, termasuk jamuan Hari Raya dan pemberian sumbangan yang jelas menampakkan kecenderungan politik.
“Semua tahu beliau ingin bertanding semula di Parlimen Gerik. Tapi adakah polisi MARA membenarkan tumpuan hanya kepada satu kawasan? MARA sepatutnya menjaga kebajikan Bumiputera seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” tegasnya lagi.
Fathul Huzir turut menyarankan agar Dr Asyraf Wajdi tampil dengan keberanian dan ketelusan sebagaimana yang sering dilaungkannya, termasuk dengan memanggil siasatan terbuka atau menjawab terus kepada PAC.
“Saya tidak fikir menjadi satu kesalahan pun jika Pengerusi PAC memanggil beliau untuk membentangkan kewangan MARA atau menjelaskan persoalan berkaitan perbelanjaan yang meragukan,” katanya.
Beliau turut menegaskan keperluan semua pimpinan negara untuk memastikan pengurusan dana awam, khususnya yang melibatkan agensi luar bandar dan hak Bumiputera, dijalankan secara cekap dan berhemah.
“Kalau kerja itu bagus, saya akan sokong. Tapi kalau tidak, saya tidak teragak-agak untuk menegur sebagai Ahli Parlimen Malaysia,” katanya mengakhiri kenyataan.
Terdahulu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam kenyataan kepada media menegur kepimpinan MARA susulan beberapa persoalan yang timbul berkenaan pengurusan kewangan dan keutamaan perbelanjaan oleh agensi itu yang disifatkan tidak menepati tujuan asal penubuhannya.
Sebagai reaksi, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mempertahankan dirinya dengan mendakwa kenyataan Mas Ermieyati bersifat politik dan berniat jahat, serta mengumumkan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 30/5/2025











