Pelajar cilik PASTI jalani simulasi ibadah haji

- Advertisement -

TANAH MERAH: Sempena musim haji yang kembali menjelma, kira-kira 80 pelajar cilik Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemahang menjalani simulasi ibadah haji.

- Advertisement -

Aktiviti anjuran Pusat Khidmat DUN (PKD) Kemahang dengan kerjasama Dakwah Halaqat DUN Kemahang itu membabitkan amalan tawaf Baitullah, berjalan antara Safa dan Marwah dan rukun ibadah haji.

Simulasi tersebut dikelola sepenuhnya oleh Ustaz Aiman Ahmad yang merupakan seorang mutawif berpengalaman dalam membawa rakyat Malaysia untuk mengerjakan umrah di Makkah dan Madinah, Arab Saudi.

Kanak-kanak yang berusia antara empat hingga enam tahun itu berpakaian ihram dan menutup aurat bagi perempuan diberi pendedahan perjalanan sebenar individu bergelar dhuyufurrahman di Makkah.

Program haji cilik diadakan di pekarangan Masjid Abu Ubaidah dalam Mukim Bukit Gading di sini merupakan salah satu inisiatif bagi memperkukuhkan keimanan dan pemahaman agama seawal usia.

Apatah lagi dunia kini dengan perkembangan maklumat di hujung jari dan perkembangan teknologi semakin canggih, menjadi medan ujian dan cabaran sangat besar khususnya bagi generasi muda hari ini.

“Dengan pendekatan interaktif, anak-anak ditunjukkan cara-cara melakukan rukun haji seperti tawaf, sa’ie, melontar jamrah, dan lain-lain, semuanya dalam suasana pembelajaran yang menyeronokkan.

“Semoga program seperti ini dapat menyemai cinta kepada ibadah haji sejak kecil dan menjadi kenangan manis buat anak-anak PASTI,” kata PKD Kemahang dalam perkongsian di Facebook. – HARAKAHDAILY 25/5/2025

- Advertisement -