Antara rasionaliti dan realiti: Bila rakyat diperangkap dalam satu ilusi besar

- Advertisement -

DALAM suasana politik negara hari ini, timbul satu keadaan yang amat membimbangkan. Rakyat yang sepatutnya menjadi penilai terakhir dalam sistem demokrasi kini diperangkap dalam satu ilusi besar satu ilusi yang sengaja dicipta oleh pemerintah. Ruang maklumat dimanipulasi, emosi dimainkan, dan naratif yang benar dikaburkan dengan cerita yang sudah diatur.

Beginilah rupa sebuah keadaan yang disebut sebagai Manufactured Consent di mana persetujuan rakyat bukan lagi lahir daripada kesedaran, tetapi dari kekeliruan yang diprogramkan.

Fenomena ini tidak sekadar menunjukkan rakyat menurut tanpa soal, malah mereka yang sebenarnya sedar akan segala kepincangan pun akhirnya terjerat. Korupsi berulang, nepotisme makin parah, pemimpin cakap lain buat lain, undang-undang berat sebelah, pembohongan jadi perkara biasa, dan janji-janji lama yang dengan mudah disapu ke tepi. Manifesto yang dahulunya dianggap ‘suci’ kini dikatakan tidak lebih dari sekadar ‘cadangan pilihan raya’.

Namun dalam semua ini, yang sama tetap diberi mandat. Yang gagal tetap diberi kuasa.

- Advertisement -

Apa yang digunakan untuk memperangkap minda rakyat?

1. ‘Gaslighting’ politik dan ketelusan yang dipalsukan.

Hari ini, kerajaan banyak berselindung di sebalik slogan. Rakyat diminta percaya bahawa mereka sedang melawan rasuah, walhal pada masa yang sama, kontrak dan jawatan diagihkan kepada kelompok sendiri, yang dulu biasa-biasa bertukar sekelip mata menjadi dewa harta.

Lebih mengecewakan, dalam parti utama yang membentuk kerajaan hari ini, budaya nepotisme sudah menjadi biasa. Dinasti politik mekar kembali. Peluang yang sepatutnya terbuka kepada yang berwibawa, disekat oleh tangan-tangan warisan politik.

Retorik reformasi digunakan untuk menutup kerakusan sebenar. Slogan dan moral dijadikan alat solekan. Sementara di sebaliknya, kuasa dibolot, kekayaan diagih dalam kelompok yang sama.

2. Bila emosi mengatasi fakta.

Rakyat semakin dikelirukan. Kerajaan bijak membina naratif yang menyentuh emosi, bukan menyelesaikan masalah. Mereka ulang-ulang cerita musuh politik yang kononnya jahat, walaupun tangan sendiri penuh lumpur.

Sokongan pula makin banyak didorong oleh rasa tak puas hati terhadap pihak lawan, bukan atas prestasi sebenar pemerintah. Bila ada skandal, isu dimatikan perlahan-lahan. Bila ada janji tak ditepati, alasan pun disediakan.

Ironinya, janji nak hapuskan tol dan PTPTN semasa PRU14 ditabur dengan penuh yakin, tapi kemudian dibuang begitu sahaja. Subsidi bersasar pula dijadikan alasan untuk memotong hak rakyat, walhal syarikat-syarikat besar yang berkait dengan kerajaan terus untung. Undang-undang pula seakan hanya berfungsi untuk menghukum pihak lawan, bukan geng sendiri.

3. Dikuasai satu naratif sahaja.

Media yang sepatutnya memberi ruang seimbang kini dikuasai naratif sebelah pihak. Rakyat cuma disuap satu cerita, sedangkan cerita sebenar disembunyikan. Maka timbul persepsi seolah-olah tiada pilihan yang lebih baik.

Inilah yang berlaku apabila suara lawan ditindas, fakta ditapis, dan kritikan dibalas dengan ugutan. Bila rakyat hanya dengar satu versi, mereka pun akhirnya percaya bahawa itulah satu-satunya kebenaran.

4. Bergantung kerana takut kehilangan.

Ada pula yang rasa tak ada pilihan. Takut hilang bantuan, takut hilang kerja, takut hidup makin susah, takut hilang peluang mendapat kertas watikah. Jadi mereka terus menyokong walaupun hati tidak setuju.

Inilah bentuk kebergantungan yang dibina oleh pemerintah janji bantuan, bantuan tunai, program jangka pendek bukan untuk menyelesaikan masalah, tetapi cukup untuk buat rakyat diam dan terus berharap.

Padahal, realitinya negara semakin terbeban dengan hutang, kos hidup makin tinggi, dan jurang kaya-miskin makin luas. Parti dan pemimpin mereka kaya raya tetapi rakyat makin derita.

Ilusi ini adalah rancangan yang tersusun

Apa yang berlaku bukan sekadar kegagalan kerajaan. Ia adalah satu bentuk perang saraf yang tersusun. Tiada lagi peluang untuk memilih dengan adil kerana mereka dibentuk dan diatur untuk tidak nampak pilihan lain.

Demokrasi hari ini telah menjadi kosmetik, ada rupa, tiada isi. Yang lebih menakutkan, rakyat telah dipaksa percaya, diperdaya dengan janji, dan dibatasi dari mencari kebenaran yang sebenar.

Sudah tiba masanya kita gerakkan sungguh-sungguh massa, bukan ‘hasut’ tetapi sedarkan mereka, agar celik semula agar bangkit. Bukan hanya menentang sandiwara yang di atas, tetapi juga melawan keapatisan yang membunuh dalam diam.

Kalau tidak, kita akan terus menjadi penonton. Yang bertepuk untuk pelakon,
Sedangkan pelakon itu, adalah watak sebenar yang sedang memusnahkan pentas negara ini.

DATUK DR AHMAD MARZUK SHAARY
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Ahli Parlimen Pengkalan Chepa – HARAKAHDAILY 25/5/2025

- Advertisement -