Himpunan Melayu Berdaulat berlangsung dengan tenang

Suasana Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR).
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir 10,000 peserta hadir mengikuti Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan pusat beli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) yang dianjurkan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam.

- Advertisement -

Tinjauan Harakahdaily ke lokasi mendapati walaupun cuaca panas, ia tidak menghalang orang ramai yang mula berkumpul seawal jam 12 tengah hari lagi tadi.

Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat dan tidak kira umur dilihat bersemangat berkumpul dengan mengenakan pakaian serba putih simbol kesatuan, keteguhan dan tekad bersama untuk menyuarakan harapan serta kepedulian terhadap masa depan tanah air tercinta. 

Himpunan yang bermula sekitar jam 2:30 petang itu bertujuan menzahirkan solidariti dalam menegakkan hak dan kedaulatan Melayu serta Islam di Malaysia.

Keadaan di lokasi tenang dan terkawal dengan kehadiran sejumlah pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dilihat menjaga keselamatan awam.

Antara isu disentuh termasuk isu undang-undang, isu bangsa Melayu, isu agama, dan lain-lain isu semasa yang berkaitan. – HARAKAHDAILY 24/05/2025

- Advertisement -