Guru pembangkit, pembina generasi masa depan

- Advertisement -

KUALA LANGAT: Majlis Sambutan Hari Guru peringkat PAS Kawasan Kuala Langat tahun 2025 telah berlangsung dengan penuh penghargaan dan semangat keilmuan di Dewan Serbaguna Bandar Seri Putra, di sini.

- Advertisement -

Majlis yang dianjurkan bagi menghargai jasa para guru itu turut menjadi platform untuk menilai semula peranan penting guru sebagai pemangkin kepada pembangunan sahsiah dan jati diri ummah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Ustaz Nushi Mahfodz hadir sebagai tetamu jemputan dan pengisi slot utama, menyampaikan ceramah bertajuk “Mendidik: Seikhlas Tabah, Semulia Ibadah”.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih dalam ucapannya menyentuh mengenai tanggungjawab guru dalam konteks pembinaan bi’ah Islamiyah dan masyarakat berakhlak tinggi.

Dalam ucapannya, Nushi menegaskan bahawa sistem pendidikan Islam hari ini masih belum mencapai keseimbangan dan kesepaduan yang diperlukan untuk melahirkan generasi rabbani.

“Pendidikan Islam belum cukup seimbang dan menyeluruh, malah gerak kerja dakwah, termasuk pemerkasaan sistem pendidikan, masih bergerak secara terpisah dan belum bersepadu,” katanya menerusi perkongsian di laman sosial.

Beliau turut menyeru agar para guru menjadikan profesion mereka sebagai medan dakwah yang holistik.

“Peranan guru bukan hanya mendidik akal, tetapi membentuk jiwa. Seorang guru yang berjaya adalah yang mampu menyentuh hati dan membangkitkan kesedaran dalam jiwa pelajarnya.

“Dengan kefahaman Islam yang syumul dan peranan yang terpandu, Insya-Allah para guru mampu menjadi agen perubahan kepada masyarakat dan bangsa,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Nushi turut mengingatkan bahawa kerosakan dalam institusi pendidikan akan memberi impak besar terhadap pembinaan generasi akan datang.

Majlis yang berlangsung dalam suasana mesra dan penuh penghayatan ini dianggap sebagai satu detik penting dalam memupuk semangat kebersamaan, kesedaran, serta iltizam bersama untuk memperkasa peranan guru sebagai pembina tamadun dan pewaris risalah Islam. – HARAKAHDAILY 25/05/2025

- Advertisement -