
KANGAR: Festival Perlis Mango and Agricultural Industry (PERMAI) 2025 pada 2 hingga 4 Mei lalu berjaya menarik kehadiran lebih 40,000 pengunjung dari dalam dan luar negeri, sekali gus menjadi pemangkin pertumbuhan sektor pertanian dan agroindustri di negeri ini.
Festival yang merupakan penjenamaan semula Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harumanis Perlis itu telah diadakan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli memberitahu, festival julung kali ini menjadi medan menghimpunkan para pemain utama dalam sektor pertanian termasuk kira-kira 100 usahawan tani dari seluruh negeri.
“Penganjuran Festival PERMAI 2025 ini adalah gabungan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan (HPPN) serta Festival Mangga Harumanis Perlis yang dijenamakan semula dan pertama kali diadakan sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Tuanku Raja Perlis.
“Festival yang telah memberi pengiktirafan dan anugerah kepada peladang, penternak dan nelayan di negeri Perlis ini telah menghimpunkan kira-kira 100 orang usahawan tani dan 40,000 orang pengunjung,” katanya.
Beliau menyatakan perkara itu semasa berucap di Perhimpunan Bulanan Penjawat Awam Negeri Perlis di Dewan Bankuet Kompleks Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.
Harumanis kekal ikon pertanian negeri
Festival ini turut diadakan bersempena musim mangga harumanis yang kini sudah menghampiri penghujungnya.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, para pengusaha menghadapi cabaran mendapatkan hasil yang berkualiti tinggi disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu.
Namun begitu katanya, sambutan peminat terhadap mangga eksklusif Perlis itu tetap menggalakkan.
“Sambutan peminat mangga harumanis Perlis pada tahun ini dilihat sangat menggalakkan dan meningkat, dengan jangkaan hasil seluruh negeri Perlis adalah melebihi 1,500 metrik tan dengan nilai RM37.5 juta,” ujar beliau lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Tuanku Raja Perlis yang sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan industri pertanian negeri, khususnya dalam memastikan kualiti harumanis Perlis sentiasa berada di tahap terbaik.
Jaminan standard dan pengeluaran berkualiti tinggi
Mengulas lanjut mengenai komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasa industri harumanis, Mohd Shukri turut mengingatkan semua pihak agar menjunjung titah Tuanku Raja Perlis berkenaan jaminan standard dan kualiti pengeluaran buah harumanis.
“Menjunjung titah Tuanku Raja Perlis ketika majlis Perasmian Festival PERMAI tempoh hari, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan industri harumanis Perlis sentiasa dijaga standard dan kualitinya supaya buah Harumanis Perlis sentiasa berada pada tahap yang terbaik.
“Justeru itu saya juga menyarankan agar jabatan dan agensi berkaitan memainkan peranan untuk negeri Perlis menjadi pengeluar utama buah Harumanis Perlis dan benih Harumanis berkualiti tinggi,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/5/2025




















