MyKiosk: Rakyat layak tanya, menteri wajar jawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming agar lebih terbuka menerima kritikan rakyat berhubung isu MyKiosk yang diragui dalam beberapa aspek.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, beberapa gerai MyKiosk yang dibiarkan terbiar jelas menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan ia bukan satu rekaan atau berita palsu seperti dikatakan pihak tertentu.

“Tapi apa yang Kor Ming buat adalah beliau memberi respon yang agak agresif terhadap kritikan-kritikan yang dibuat oleh beberapa pihak. Walaupun tidak dinafikan ada kiosk yang sedang diguna pakai.

“Tapi dia tidak boleh menafikan bahawa ada sejumlah kiosk yang dilihat terbiar di beberapa tempat. Maka sebagai seorang Menteri sepatutnya beliau perlu respon.

“Beri respon dengan baik terhadap kritikan yang dibuat oleh rakyat yang melihat depan mata kiosk ini dilihat agak terbiar di beberapa tempat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, tadi.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Kor Ming mengarahkan pegawai KPKT membuat laporan polis terhadap pihak yang mengkritik inisiatif MyKiosk seolah-olah berita itu adalah palsu.

“Sepatutnya pegawai-pegawai ini disibukkan untuk meneliti semula kejayaan isu MyKiosk, bukannya menggunakan pihak berkuasa dan seolah-olah ingin mengugut mereka yang mendedahkan kedai ataupun kiosk yang terbengkalai.

“Itu bukan tindakan seorang negarawan tapi tindakan seorang menteri yang pengecut. Jangan disibukkan pegawai yang ada tugas hakiki untuk menaik taraf kehidupan rakyat melalui MyKiosk ini hanya disebabkan tidak boleh menerima kritikan,” katanya.

Selain itu, beliau turut menimbulkan persoalan berhubung kos pembinaan MyKiosk yang mencecah RM24,500 seunit dan disifatkannya terlalu tinggi memandangkan terdapat projek rumah kos rendah sebelum ini dibina pada kos hampir sama.

“Kita perlu tahu dan sedar bahawasanya Menteri perlu memberi respon terhadap harga MyKiosk yang dilihat besar jumlahnya sekitar RM24,500 satu gerai satu kiosk.

“Oorang membuat perbandingan terhadap rumah yang dibina pada zaman bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Razak yang harganya lebih kurang.

“Jadi, dengan jumlah yang besar itu dan juga terkait pula dengan beberapa kiosk yang terbengkalai, maka persoalan timbul yang sepatutnya Menteri jawab.

“Bukannya mengugut dengan menggunakan pihak berkuasa untuk membuat laporan polis dan dilihat seolah-olah itu adalah berita palsu,” katanya.

Oleh demikian, beliau menyeru Menteri agar berjiwa besar, menerima kritikan rakyat, membuktikan kejayaan menyeluruh inisiatif MyKiosk dan bukan sekadar mempamerkan sebahagian kecil kejayaan sambil menafikan realiti di lapangan.

“Rakyat nampak perkara ini terbengkalai. RM24,500 untuk sebiji kedai itu mahal bagi rakyat sebab dibandingkan dengan sebiji rumah kos rendah yang telah dibuktikan di beberapa tempat,” katanya.

Terdahulu, Kor Ming ketika mempertahankan isu berhubung keraguan terhadap projek MyKiosk, menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh pihak berkuasa.

Namun, dalam nada berseloroh, beliau turut mengajak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, minum teh bersama.

Tindakan itu dipersoalkan Nadzir kerana menurutnya, SPRM adalah badan siasatan dan bukan tempat untuk bergurau secara santai dengan individu yang disiasat.

Ia boleh menimbulkan tanggapan negatif terhadap ketelusan, malah berpotensi menimbulkan persepsi kompromi atau ugutan terhadap proses siasatan. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -