
RASANYA masih belum terlambat untuk saya coretkan ibrah sempena Hari Guru daripada kisah perguruan antara Nabi Musa dan Khadr AS. Kisahnya boleh dibaca pada ayat 60-82 Surah al-Kahf.
Adapun konsepnya:
1. Jangan rasa diri sudah banyak ilmu.
Musa Nabi Ulul Azmi. Darjat tertinggi dari kalangan Anbiya’. Tapi Insya-Allah tidak menjadi alasan untuk beliau merendah diri mencari guru yang lebih rendah tahapnya.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan beroleh ilmu orang yang malu dan sombong.”
Tiada had dalam menuntut ilmu. Sekalipun anda adalah Prof Emeritus, sekalipun anda dah punya pengalaman 1,000 tahun, jangan pernah menutup pintu untuk menerima ilmu baharu dari sesiapapun.
Dikatakan Imam Syafie menganggap seorang budak pengembala kambing sebagai gurunya, hanya kerana budak itu mengajarkan beliau cara mengenali umur binatang.
Ujar Khadr:
“Allah beri padaku ilmu yang tidak diberi padamu, sebagaimana Allah beri padamu ilmu yang tidak diberi padaku.”
2. Adab sebelum ilmu?
Saya tidak berapa gemar ungkapan ini. Walaupun Nabi Musa menunjukkan adab yang tinggi ketika minta izin berguru dengan Khadr, tetapi itu bukan bermaksud Nabi Musa mendahulukan adab dari ilmu.
Tanpa ilmu, kita tak akan kenal apa itu adab. Adab juga perlu dipelajari.
Lebih baik tukar kepada ‘belajarlah adab sebelum belajar ilmu lain’.
Adab perlu diajar kepada manusia sebelum mereka disekolahkan lagi. Itulah peranan ibu bapa. Biar mereka sudah dilengkapi dengan ilmu adab sebelum mereka kenal guru.
3. Ilmu perlukan kesabaran.
Nabi Khadr telah memberi isyarat awal, bahawa ilmunya memerlukan kesabaran. Ilmu tak akan diperoleh dalam satu dua hari. Ilmu tak akan kemas dengan bacaan satu dua kitab. Ilmu tidak akan cukup dengan mengaji satu dua guru.
Walaupun dunia hari ini memerlukan kepantasan untuk mengejar perkembangan teknologi, tetapi untuk menjadi ilmuan yang mendalami sesuatu bidang memerlukan masa dan pengorbanan.
Didik diri untuk bersabar menuntut ilmu. Jangan pilih pengajian berdasarkan mana yang paling cepat sahaja. Pilihlah yang paling berkualiti walaupun perlu memakan masa.
4. Ilmu perlu didatangi.
Nabi Musa sanggup berlayar keluar dari negerinya semata-mata mencari Khadr yang masih tidak jelas dimanakah tempatnya. Hanya beberapa tanda tuhan berikan.
Itulah sifat ilmu. Walaupun boleh didapati dihujung jari, tetapi amat berbeza keberkesanan terhadap diri seseorang sekiranya mereka merantau jauh untuk menuntut ilmu.
5. Guru bukan sekadar memindahkan maklumat.
Khadr boleh sahaja buka kelas kepada Nabi Musa dan memberitahu apa ilmu yang Allah kongsikan padanya. Tapi beliau memilih untuk membawa Nabi Musa mengembara bersamanya dan melihat bagaimana beliau menggunakan ilmunya.
Perlu bezakan antara pengajar dan pendidik. Pengajar hanya memindahkan maklumat dari dirinya kepada murid. Tetapi pendidik akan menggunakan berbagai cara untuk pastikan ilmu itu masuk ke dalam jiwa murid.
Inilah yang disebut tarbiyah.
6. Tidak perlu terima bulat.
Nabi Musa sering pertikaikan apa yang Nabi Khadr lakukan. Beliau gunakan ilmunya untuk memahami ilmu Khadr.
Itu bukanlah sifat tercela. Dibolehkan mempersoal ilmu yang disampaikan seseorang, asalkan dalam neraca adab yang tinggi.
Kita tak sepatutnya menganggap seorang guru itu betul semuanya. Mereka juga manusia. Sebaliknya bergurulah dengan seramai mungkin agar dapat meminimumkan kesalahan manusia (human error) dan membina minda yang analitikal dan kritikal.
Jauhi guru yang berkata ‘kosongkan mindamu. Buang segala apa yang kau tahu sebelum ini. Anggaplah dirimu jahil sebelum aku sampaikan ilmu ini’.
7. Ilmu adalah amanah Allah.
Setelah segalanya diterangkan, Nabi Khadr menyimpulkan ‘Dan aku tidak melakukannya menurut kehendakku sendiri’. Insya-Allah difahami bahawa Allahlah yang mewahyukannya.
Ilmu adalah amanah. Oleh itu sampaikan ia secara jujur dan telus. Jangan sembunyikan apa-apa ilmu walaupun mungkin akan memberi kesan pada peribadi kita. Walau kita makan rasuah, jangan ajar bahawa rasuah itu halal.
Kadangkala orang terkeliru dengan mafhum ayat ‘sangat besar murka Allah bagi yang berkata apa yang mereka tak buat’. Ada yang anggap kalau kita makan rasuah, lebih baik diam dan tak cakap rasuah itu haram, kalau tak dosa lagi besar.
Ibn Kathir menjelaskan ia adalah celaan bagi orang yang berkata tanpa berusaha menepatinya, bukan orang berdosa yang tetap menyampaikan kebenaran sambil berusaha memperbaiki diri.
Kalau makan rasuah, kita berdosa. Tapi kalau tegur orang bahawa rasuah haram, kita beroleh pahala. Tapi kalau tak tegur, dapat dosa satu lagi pula.
Pokok pangkalnya, sampaikanlah kebenaran walau diri tidak sempurna. Dalam masa sama perbaiki diri sentiasa.
ALANG IBN SHUKRIMUN
25 Zulkaedah 1446
23 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 23/5/2025











