MOF: Nisbah hutang mengelirukan dan tidak telus

Laporan Kementerian Kewangan

Razman
- Advertisement -

IPOH: Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Razman Zakaria, mengulas laporan Kementerian Kewangan (MOF) berkenaan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 62.6 peratus.

- Advertisement -

Beliau berkata, laporan rasmi MOF memaparkan nisbah hutang negara berkurangan daripada 64.6 peratus pada Disember 2024 kepada 62.6 peratus setakat akhir Mac 2025, namun laporan berkenaan telah ditarik balik dan pautannya dipadamkan oleh pihak kementerian.

“Di sini adalah perlu ditekankan, analisis terhadap angka sebenar yang diterbitkan kerajaan sendiri menunjukkan bahawa laporan ini berisiko mampu mengelirukan pemahaman rakyat serta mengaburkan keadaan sebenar kedudukan fiskal negara,” ujarnya.

Menurut beliau yang merupakan bekas Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, fakta menunjukkan bahawa hutang kerajaan sebenarnya meningkat, bukan menurun sebagaimana didakwa.

Beliau menjelaskan, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan meningkat daripada RM1,247.6 bilion pada Disember 2024 kepada RM1,277.3 bilion pada Mac 2025, iaitu peningkatan sebanyak RM29.7 bilion dalam tempoh tiga bulan.

Selain laporan disifatkannya sebagai mengelirukan, tidak telus dan berpotensi membebankan rakyat, beliau turut mempersoalkan keadaan ekonomi negara yang dilihat menguncup secara suku tahunan, berdasarkan data KDNK sebenar.

“KDNK suku keempat 2024 ialah RM501.5 bilion, manakala KDNK suku pertama 2025 menurun kepada RM484.6 bilion, iaitu penurunan sebanyak RM16.9 bilion,” terangnya.

Berdasarkan pengiraan standard menggunakan purata empat suku tahunan, beliau berkata jumlah KDNK adalah RM1,950.9 bilion, oleh itu, nisbah sebenar hutang negara ialah 65.5 peratus, bukannya 62.6 peratus seperti yang dinyatakan MOF.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak itu, turut menggariskan beberapa implikasi kepada rakyat jika hutang kerajaan meningkat lebih laju daripada pertumbuhan ekonomi.

“Beban kewangan negara yang semakin berat akan menjejaskan keupayaan kerajaan untuk membiayai subsidi dan bantuan rakyat.

“(Juga mengecilkan) ruang fiskal dalam menghadapi krisis ekonomi atau bencana, serta menjejaskan (keyakinan) pelabur terhadap pengurusan kewangan negara,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa sekiranya ketelusan fiskal dikompromi, pasaran kewangan akan memberikan tindak balas negatif.

“(Ini boleh menyebabkan) kadar faedah pinjaman kerajaan meningkat, (seterusnya) kos pinjaman sektor swasta dan rakyat juga akan naik. Ringgit boleh tertekan (dan) memberi kesan kepada harga barang import,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan kaedah pengiraan nisbah hutang yang digunakan kerajaan.

“Jika kerajaan menggunakan unjuran KDNK tahun penuh 2025 (yang belum berlaku) untuk mengira nisbah hutang setakat Mac 2025, ia (merupakan) satu kaedah mengelirukan dan tidak mencerminkan realiti semasa,” katanya.

Menurutnya, dalam amalan tadbir urus fiskal yang berhemah, laporan kewangan suku tahunan seharusnya berasaskan data sebenar, bukannya jangkaan politik.

Sehubungan itu, Razman menuntut kerajaan untuk menjelaskan secara rasmi metodologi pengiraan nisbah hutang yang digunakan dan melaporkan kedudukan fiskal negara secara telus berdasarkan data sebenar.

“Hentikan naratif ‘pemulihan’ jika data ekonomi menunjukkan penyusutan dan tekanan,” gesanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Gunung Semanggol itu.

Razman menegaskan, hutang kerajaan bukan sekadar angka semata-mata, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab generasi kini terhadap masa depan negara.

“Kita tidak boleh membina kepercayaan pelabur dan kestabilan ekonomi melalui angka yang dibentuk untuk kelihatan ‘selesa’.

“Jika kerajaan terus menggunakan pendekatan ini, bukan sahaja rakyat akan terbeban dengan kos fiskal yang semakin meningkat, malah keyakinan antarabangsa terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan juga akan terjejas,” katanya.

Beliau menegaskan, kerajaan perlu mengutamakan ketelusan demi memastikan masa depan fiskal negara yang lebih telus dan bertanggungjawab. – HARAKAHDAILY 23/5/2025

- Advertisement -