LAMANITA peluang ceburi pertanian berteknologi

Tuan Faizah ketika merasmikan program LAMANITA Daerah Marang, di Masjid Paya Resak, Bukit Payong.
- Advertisement -

MARANG: Program Latihan Mobilisasi Wanita Terengganu (LAMANITA) dilihat sebagai landasan penting bagi memperkasakan wanita daripada golongan B40 dan ibu tunggal untuk menceburi bidang pertanian moden.

- Advertisement -

Isteri Menteri Besar Terengganu, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman berkata, peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat kini semakin meluas, bukan hanya sebagai tulang belakang keluarga, malah turut menjadi penyumbang ekonomi yang signifikan.

“Program LAMANITA ini merupakan satu inisiatif yang relevan dengan keperluan semasa, di mana wanita bukan sekadar menjadi tulang belakang keluarga, malah kini berperanan aktif dalam menjana pendapatan dan menyumbang kepada ekonomi isi rumah.

“Saya berharap agar kalian yang berada di hadapan saya ini dapat jadikan program ini sebagai medan mencipta peluang baharu, ruang memperkasakan diri dan langkah ke arah wanita berdikari yang mampu menjana pendapatan melalui kaedah pertanian moden,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan program LAMANITA Daerah Marang, di Masjid Paya Resak, Bukit Payong, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah program, Tuan Rosalina Tuan Sulaiman dan Pegawai Jabatan Pertanian Daerah Marang, Nik Muhamad Haizul Nik Sufian.

Menurut Faizah, dengan pendedahan kepada teknologi dan ilmu pertanian yang lebih sistematik, wanita mampu menjadikan bidang tersebut sebagai sumber pendapatan yang stabil dan berdaya tahan.

“Pertanian kini bukan lagi kerja kampung semata-mata. Ia adalah industri yang berkembang pesat dan dengan teknologi serta pengetahuan yang betul, ia mampu menjadi sumber pendapatan yang konsisten dan lumayan.

“Pertanian bandar, hidroponik, pemprosesan produk agro semua ini adalah peluang keemasan bagi wanita yang mahu maju dan menyumbang kepada ekonomi keluarga,” katanya lagi.

Beliau berharap LAMANITA yang menyasarkan penyertaan 40 wanita di setiap daerah negeri Terengganu dijangka mampu melahirkan barisan wanita tani yang mahir, kreatif dan inovatif dalam memperkukuh ekonomi keluarga dan komuniti setempat.

“Saya ingin katakan, wanita yang berjaya bukanlah wanita yang tidak pernah gagal, tetapi wanita yang tidak pernah berhenti mencuba. Peganglah kata-kata ini. Jangan takut gagal, kerana dari kegagalan itulah kita belajar dan dari pembelajaran itulah kejayaan akan mula tumbuh,” katanya.

Beliau turut menyeru semua peserta supaya terus menyokong agenda kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor pertanian lestari dan keusahawanan wanita.

“Saya mengajak semua peserta untuk sama-sama kita menyokong agenda kerajaan negeri dalam membangunkan sektor pertanian lestari dan mesra alam serta mewujudkan platform keusahawanan bagi wanita dalam sektor pertanian dan perniagaan produk asas tani.

“Tahniah atas keberanian dan kesungguhan untuk menyertai kursus ini. Rebutlah peluang ini untuk menimba ilmu dan kemahiran baharu. Jangan takut untuk mencuba.

“Jadikan ilmu yang diperoleh sebagai asas untuk mencipta kejayaan dalam bidang yang mungkin sebelum ini tidak pernah difikirkan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pertanian dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Jabatan Pertanian serta semua yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini.

“Saya mendoakan agar program ini menjadi titik tolak kepada lebih banyak kejayaan wanita dalam bidang pertanian, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -