Jalan ‘wasatiy’ kini sedang cuba dialih ke ‘haluan kiri’

Perlembagaan tak dihormati, cuba dikikis

Aswanizam Alias
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Muslim Al-Fateh, Aswanizam Alias menegaskan penganjuran Himpunan Melayu Berdaulat menjadi keperluan apabila kepincangan dalam negara tidak lagi dipedulikan pihak berkuasa.

- Advertisement -

Katanya, idea untuk mengadakan himpunan hanya timbul selepas perbincangan dalam mesyuarat mendapati pelbagai isu yang dibangkitkan adalah sangat sahih dan tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Kita sebenarnya pun tak berminat untuk buat himpunan-himpunan ni kalau tak ada masalah, kan? Jadi bila dah timbul banyak perkara yang kita tengok ini tak boleh dibiarkan.

“Maka kita ni sebagai umat Islam kita tahu bahawa kalau kata kepincangan tu berlaku, tidak ada siapa yang mengambil peduli tentang perkara tu, maka perlu digerakkan sesuatulah untuk memperbetulkan perkara-perkara yang tak betul tu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara 360 anjuran Perspektif360 bertajuk ‘Menjelang Himpunan Berdaulat 24 Mei’ semalam.

Menurutnya, mereka yang mempertikaikan penganjuran himpunan seringkali adalah golongan yang dahulu gemar berhimpun.

“Yang menjadi satu benda tu, bila orang kata, ‘Apalah benda nak himpun-himpun ni?’ Orang yang berkata tulah orang yang berhimpun sebelum ni, dia yang kaki himpun, kan? Orang-orang tu yang kaki himpun yang pertikai,” bidasnya.

Aswanizam turut menegaskan Perlembagaan Persekutuan sebagai dokumen asas pembentukan negara ini perlu dihormati oleh semua pihak kerana ia adalah kontrak sosial yang telah dipersetujui pelbagai pihak termasuk Raja-raja Melayu.

“Negara ni berdiri setelah adanya Perlembagaan Persekutuan tu. Perlembagaan Persekutuan tu ialah sosial kontrak yang dah ada di kalangan semua kaum-kaum, bapa-bapa kemerdekaan yang duduk dekat situ, berbincang, bersetuju.

“Bila Reid Commission membuat cadangan-cadangan, lepas tu Raja-raja bersetuju dengan benda tu dan benda tu dah termaktub sebagai satu dokumen yang membentuk negara ni. Dan di situ dah diberikan peluang dan hak kepada semua orang secara sama rata,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau menyuarakan kebimbangan apabila melihat banyak hak orang Melayu dan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan kini semakin dihakis atau tidak dilaksanakan.

“Bila kita tengok banyak perkara yang tengah berlaku sekarang ni melibatkan kepentingan dan hak-hak Melayu yang dijanjikan di dalam Perlembagaan itu, dihakis satu persatu, sama ada dihakis, tidak dipedulikan ataupun culas untuk melaksanakannya,” kesalnya.

Beliau turut menggesa supaya isu Tanah Rizab Melayu dan biasiswa untuk orang Melayu ditangani dengan adil berdasarkan hak yang dijamin Perlembagaan.

“Memang kita bersetuju dengan meritokrasi dan sebagainya, tetapi mesti hormat kepada hak yang ada yang telah termaktub di dalam dokumen perlembagaan tu sendiri.

“Kalau kata tidak boleh menjalankan perkara tu dengan baik, maka orang-orang yang tidak menjalankan perkara tu culas terhadap tanggungjawab dia terhadap Perlembagaan tu,” terangnya.

Menurut Aswanizam, penghormatan terhadap Raja-raja Melayu juga semakin berkurang dan titah mereka sering diabaikan.

“Sampai ke Raja-raja Melayu sendiri pun tidak dihormati. Sekarang ni kita tengok, kan, bila Raja-raja Melayu bertitah tentang banyak perkara, tidak ada yang peduli pun, buat tak tahu aje,” ujarnya kecewa.

Katanya, kebebasan untuk menegur dan membuat semak imbang kini semakin disekat, sedangkan ruang demokrasi seharusnya digunakan sebaiknya.

“Sekarang ni tak apalah, kita masih boleh berbicara, kita masih boleh protes. Tapi bila nak protes pun, nak bercakap, untuk menegur, untuk membuat semak dan imbang pun, itu pun disekat.

“Maka bila suara tu tak boleh di-channelkan, maka kita takutlah benda-benda yang pernah berlaku sebelum ni. Bukan tak pernah berlaku.

“Satu dunia kalau berlaku, kalau ketidakpuasan hati tu tidak disalurkan dengan cara betul, maka dia akan datang dengan cara-cara yang tidak elok. Itu yang kita tak nak,” katanya.

Aswanizam berkata, media arus perdana kini dipengaruhi kuasa luar yang membina naratif untuk mengubah haluan negara ke arah fahaman liberal.

“Masalah dia sekarang ni kepada kita ialah apabila media-media yang sekarang ni dah masuk jadi media ‘mainstream’, media-media yang kita faham datang daripada sokongan ‘soft power’ luar ni, yang membina mereka, memberi kekuatan kepada mereka.

“Mereka membuat naratif, membina naratif daripada 20 tahun lepas, membina naratif sehingga ‘middle pathed’ atau jalan ‘wasatiy’ (jalan tengah) tu ya, untuk negara ni beralih kepada sebelah kiri,” terangnya.

Beliau menyifatkan mereka yang masih berpegang kepada Perlembagaan kini menjadi golongan minoriti atau ‘farai’.

“Kita yang berdiri atas kepercayaan bahawa Perlembagaan ini akan menjaga kita, hak-hak kita termaktub dalam perlembagaan tu, kini kita menjadi golongan ‘farai’ (terpecah) sebab naratif-naratif yang mereka buat untuk ‘shift middle pathed’ ni pergi ke sebelah kiri,” katanya.

Beliau menegaskan himpunan yang bakal diadakan bukan untuk mencetuskan kekacauan, sebaliknya sebagai saluran aman menyampaikan pandangan rakyat bawahan.

“Himpunan ni dibuat untuk menegur. Himpunan ni dibuat ialah untuk menyuarakan pandangan, menyuarakan kita punya pendapat, menyuarakan kita punya teguran.

“Dan kalau kata tak boleh nak tegur, tak boleh kena tegur, baik tak payah jadi pemimpin. Itu saja,” tempelaknya.

Beliau juga merujuk kisah Saidina Umar al-Khattab yang sanggup mendengar teguran wanita biasa, dan menyatakan himpunan itu adalah jalan yang aman berbanding cara pihak yang kini memerintah ketika dahulu.

“Kita cuba mengikut sunnah mereka ni kan. Mereka yang bising tentang perkara ni ialah mereka-mereka yang membuat perkara tu dengan lebih teruk lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -