Hak Bumiputera kini sedang dituntut oleh kaum lain

DEB sejak 1971, tetapi kenapa Bumiputera masih ketinggalan?

Bibi Sunita Sakandar Khan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Negarawati Tanahair, Bibi Sunita Sakandar Khan menegaskan bahawa ketika ini negara sedang berdepan pelbagai isu secara serentak, sehingga menjejaskan kelangsungan hidup rakyat, khususnya wanita.

- Advertisement -

“Semasa kita sedang berdepan sesuatu isu ni, tiba-tiba datang isu lain. Sampai satu tahap kita merasakan warga rakyat, warga akar umbi ini menjalani kehidupan dan kelangsungan hidup dengan begitu terlalu banyak isu.

“Paling penting sekali melibatkan ekonomi kita, terutama wanita. Wanita ini hampir separuh daripada populasi seluruh dunia. Malaysia pun hampir separuh populasi adalah wanita,” ujarnya dalam Bual Bicara 360 anjuran Perspektif360 bertajuk ‘Menjelang Himpunan Berdaulat 24 Mei’, semalam.

Menurut beliau, jika bercakap mengenai ummah, Melayu dan Islam, ia merupakan masyarakat majoriti di negara ini, namun dari segi jurang ekonomi, kelompok itu masih jauh ketinggalan.

“Bercakap tentang ummah atau tentang orang Melayu dan orang Islam itu sendiri, kita merupakan masyarakat yang majoriti dalam negara ini hampir 70 peratus. Tetapi bila kita lihat dari segi jurang ekonomi tu sendiri kita jauh sangat ketinggalan.

“Walaupun kita telah dibentangkan dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971, tetapi sampai satu tahap kaum-kaum lain dah mula nak mempertikaikan sampai bila kita nak bergantung harap dengan kerajaan,” muhasabahnya.

Bibi Sunita turut membangkitkan mengenai cadangan seorang menteri dari parti DAP untuk menarik 10 peratus peruntukan Bumiputera, yang dilihat sebagai satu bentuk pengurangan hak terhadap golongan itu.

“Maksudnya diambil hak daripada Bumiputera kita ini untuk diberikan kepada bukan Bumiputera ini. Bermakna dalam keadaan kita terkial-kial, terkejar-kejar, tercari-cari, terpinga-pinga, kita masih lagi dalam keadaan, jurang-jurang ekonomi tu sangat jauh.

“Termasuk dekat dengan bangsa India pun kita berada di tercorot sekali ya. Kita tak termasuk lagi dari segi bidang profesional, daripada ekuiti Bumiputera, daripada pengangguran, pekerjaan, daripada mereka yang menjawat jawatan.

“Membuktikan bahawa umat Islam dan orang Melayu yang majoriti menjadi peribumi ataupun penduduk asal ini masih lagi jauh ketinggalan dan diperlekehkan juga diperkotak-katikkan juga oleh kaum-kaum lain dan cuba mempertikaikan hak kita,” ulasnya.

Beliau menambah, isu jurang ekonomi itulah yang menjadi antara punca berlakunya peristiwa 13 Mei dan seterusnya membawa kepada pembentukan Dasar Ekonomi Baru bagi mempertahankan hak orang Melayu.

“Jadi pada saya isu ini yang akan diangkat oleh Negarawati Tanahair kerana kita memikirkan bahawasanya masalah kita dari segi ekonomi ini, berlakunya peristiwa 13 Mei kerana jurang ekonomi tu.

“Itu yang berlaku sampai satu tahap kita terlibat dengan dasar ekonomi baru dibentangkan untuk orang kata nak meneutralkan ataupun nak memastikan ketahanan ataupun mempertahankan hak kita itu mendapat keadilan kepada kita.

“Kerana apa yang berlaku sebelum ini kita dijajah oleh British, Portugis, Belanda, Jepun dan sebagainya membuatkan kita di dalam lingkungan masyarakat yang perlu diangkat, perlu dibimbing, perlu dipertahankan dari segi keadilan,” terangnya.

Katanya, tuntutan yang dibawa pihaknya pada Himpunan 24 Mei ini adalah demi mempertahankan keadilan dan mengelakkan hak Bumiputera daripada dirampas, meskipun ia sudah termaktub dalam Perlembagaan.

“Jadi apa yang kita tuntut pada 24 Mei ini adalah keadilan yang mungkin perlu dipertahankan dan jangan dirampas kerana kita tidak mahu ada siapa-siapa mempertikaikan hak kita.

“Walaupun termaktub dalam Perlembagaan tetapi dasar-dasar yang termaktub dalam Perlembagaan ini jika kita tidak mengambil peduli, kita tak ambil kira, kita leka, kita cuai, kita alpa dan pemimpin-pemimpin kita juga tidak menyuarakan perkara ini.

“(Maka), tugas kitalah sebagai ‘third force’, sebagai NGO untuk mengutarakan dan memberikan pandangan, cadangan dan kebimbangan, kerisauan kita terhadap masalah-masalah yang berlaku,” gesanya.

Menurut Bibi Sunita, atas dasar itu, Negarawati Tanahair bersama ahli-ahlinya kini aktif menjalin kerjasama strategik dengan NGO-NGO sedia ada untuk menyuarakan kepentingan masyarakat.

“Dan untuk makluman pada 24 Mei ini, di samping kita berarak menuju ke Sogo dalam memanifestasikan kita punya solidariti untuk Himpunan Melayu Berdaulat, tetapi kita juga mengadakan satu majlis berbentuk doa munajat dan juga berselawat.

“Yang akan dihadiri oleh wanita-wanita Melayu, muslimah kita berpakaian serba putih dan kita akan berselawat, kita ada doa munajat, kita ada juga tazkirah berkenaan dengan wanita tiang negara dan ini melibatkan rangkaian-rangkaian NGO kumpulan wanita Melayu kita.

“Alhamdulillah syukur pada pukul 11:00 pagi sehingga pukul 1:30 kita akan solat berjemaah bersama-sama dan kemudian itu akan bersama dalam ‘checkpoint-checkpoint’ untuk kita menuju berarak ke Sogo,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -