Terengganu tidak abai peranan suri rumah, ibu tunggal

Tuan Roslina menyampaikan ucapan sempena LAMANITA.
- Advertisement -

MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu terus memperkasa peranan wanita menerusi penganjuran program LAMANITA yang memberi fokus kepada latihan dan pembangunan dalam bidang pertanian bandar serta pengeluaran produk asas tani.

- Advertisement -

Pengarah program, Tuan Roslina Tuan Sulaiman berkata, program julung kali itu menyasarkan penyertaan suri rumah dan ibu tunggal dari lapan daerah, bermula di Kuala Terengganu sebagai lokasi pertama.

Katanya, program itu bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran kepada peserta bagi meningkatkan pendapatan isi rumah serta menyokong pembangunan sektor pertanian mesra alam dan lestari.

“Ia juga selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 yang telah menggariskan beberapa inisiatif bagi meningkatkan peranan suri rumah dan ibu tunggal ke arah kesejahteraan sosioekonomi.

“Antaranya adalah menyediakan latihan kemahiran teknikal dan vokasional seperti pemprosesan makanan, jahitan dan pertanian bandar seperti yang diadakan pada hari ini.

“Ini membuktikan keseriusan kerajaan negeri dalam memastikan semua golongan terutamanya suri rumah dan ibu tunggal tidak terpinggir dalam pembangunan negeri ini,” katanya berucap pada program LAMANITA Daerah Marang, di Masjid Paya Resak, Bukit Payong, di sini semalam.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kasim yang sentiasa cakna terhadap usaha pembangunan wanita di Terengganu.

“Alhamdulillah terima kasih kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, yang komited dan begitu cakna kebajikan, pembangunan dan pemerkasaan wanita di Terengganu.

“Besar harapan kami bagi pihak penganjur (Kerajaan Negeri Terengganu) agar kita semua bersatu padu dan menyokong segala usaha dalam memperkasakan golongan wanita dengan ilmu dan akhlak yang murni.

“Terima kasih saya ucapkan kepada agensi-agensi kerajaan, NGO-NGO, urus setia dan jawatankuasa pelaksana program LAMANITA Peringkat Daerah Tahun 2025,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -