
KOTA BHARU: Yayasan Islam Kelantan (YIK) akan meningkatkan usaha kecemerlangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dengan menganjurkan Kem Kecemerlangan lebih awal berbanding kebiasaan.
Usaha itu dibuat bagi mengurangkan jumlah pelajar yang gagal dalam peperiksaan berkenaan, setelah seramai 385 calon direkodkan tidak berjaya tahun lalu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Insan Negeri, Kamaruzaman Mohamad berkata, kem tersebut memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai subjek dan kaedah menjawab soalan dengan lebih berkesan.
“Setiap tahun kita anjurkan kem ini, tetapi tahun ini kita buat lebih awal sebagai persiapan awal kepada pelajar,” katanya.
Menurut beliau, kem-kem kecemerlangan turut dijalankan di peringkat sekolah dan dipantau oleh pihak akademik YIK.
Langkah tersebut bukan sahaja menarik minat pelajar terhadap STAM, malah membantu meningkatkan semula prestasi calon yang lepas.
“Cabaran untuk tarik minat pelajar agak besar kerana selepas SPM banyak laluan lain. Ada yang tidak berminat dan ada juga yang tidak mampu menyambung pelajaran ke luar,” ujarnya.
Namun katanya, peningkatan hebahan dan kempen lebih awal membantu membentuk kecemerlangan awal dalam kalangan pelajar, berbanding tahun lalu yang hanya bermula selepas keputusan diumumkan.
Kamaruzaman turut memaklumkan usaha Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) turun ke sekolah turut memberi semangat kepada pelajar meneruskan pengajian ke peringkat STAM dan seterusnya ke KIAS.
“STAM perlu dikekalkan kerana ia laluan lebih mudah ke Timur Tengah,” katanya.
Bagaimanapun katanya, YIK juga sedang menilai kaedah terbaik membantu calon yang gagal beberapa subjek agar boleh memperbaiki keputusan dengan hanya mengulang subjek gagal.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamad yang berada di Makkah turut merakamkan ucapan tahniah kepada YIK dan calon STAM.
Beliau melahirkan rasa syukur memandangkan keputusan yang diumumkan kelmarin mencatat peningkatan 2.53 peratus.
Beliau berkata, usaha berganding bahu antara KIAS, YIK, pihak sekolah dan pelajar akan terus diperkasakan untuk merangka perancangan pendidikan yang lebih baik.
“Saya kini berada di tanah haram Makkah akan berdoa agar pelajar-pelajar YIK dan seluruh pelajar di negeri ini mencapai kecemerlangan dalam pendidikan dalam semua peringkat peperiksaan, khususnya STAM,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025




















