
PASIR PUTEH: Kelantan bakal melahirkan 29 pelajar dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pertama di bawah program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail berkata, mereka dari Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI) Tok Guru.
Beliau berkata, sekolah terbabit menjadi salah satu institusi pendidikan yang melaksanakan SLDN TVET pertanian serta berjaya menamatkan kursus bagi kumpulan pertama projek tersebut.
“Ini merupakan salah satu pusat SLDN-TVET yang dilaksanakan melalui kerjasama agensi kerajaan negeri, Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran.
“Insyallah seramai 29 anak pelajar dari SMITI Tahfiz Tok Guru daripada 103 orang graduan akan diraikan dalam masa terdekat,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu dalam rangka lawatan bagi melihat perkembangan projek pertanian yang dijalankan di Huffaz Agro Farm SMITI Tahfiz Tok Guru di sini.
Pelajar yang terlibat program SLDN TVET itu diberi pendedahan dan terlibat penanam sebanyak 3,000 pokok jagung dan 120 tanaman kelapa dari varian Tumpat, Rendah dan Ringan (TRR).
Beliau berkata, ia merupakan inisiatif awal kerajaan negeri melancarkan program Gerakan Pertanian al Falah Pondok dan Tahfiz sebelum kerajaan memperkenalkan projek SLDN-TVET.
Dalam perkembangan sama, beliau turut diberikan taklimat oleh Mohamad Irfan Abd Rahim mengenai projek terbaru SMITI Tahfiz Tok Guru iaitu penternakan Lalat Tentera Hitam (BSF).
Katanya, penternakan yang semakin popular ketika ini menawarkan kelebihan lebih baik dalam pengurusan sisa organik dalam kawasan sekolah selain menjamin kelestarian alam. – HARAKAHDAILY 22/5/2025




















