
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis akan menganjurkan program keibubapaan bersiri bermula bulan Ogos ini sebagai salah satu langkah strategik untuk menangani peningkatan kes jenayah seksual dalam kalangan remaja bawah umur.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Negeri, Ustaz Muhammad Azmir Azizan memaklumkan usaha ke arah menangani gejala tersebut yang semakin membimbangkan di negeri ini.
Katanya, program itu bakal dijalankan secara berfasa dan menyasarkan penyertaan ibu bapa, pendidik serta komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran terhadap peranan masing-masing dalam membentuk sahsiah generasi muda.
“Peranan komuniti, ibu bapa, sekolah dan masjid amat penting. Kalau remaja kita tidak diberi didikan agama dan adab sejak awal, mudah saja mereka terpengaruh dengan budaya luar yang sangat bebas,” ujarnya kepada Harakahdaily, semalam.
Beliau berkata demikian selepas satu pertemuan awal diadakan bersama agensi-agensi berkaitan, termasuk Jabatan Agama Islam, Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa entiti pembangunan insan lain.
Antara hasil utama pertemuan itu ialah penubuhan satu Pasukan Petugas Khas (Taskforce) melibatkan agensi agama, pendidikan, pembangunan insan dan agensi lain bagi menyelaras tindakan rentas sektor terhadap gejala sosial di Perlis.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan mengadakan pertemuan berkala bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Pusat Khidmat DUN masing-masing bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan program dan dasar dibuat secara menyeluruh.
“Kita mahu semua tindakan dibuat dengan teliti dan bersandarkan data. Jangan kita bertindak terburu-buru yang boleh menjejaskan siasatan atau menimbulkan kekeliruan,” kata Ustaz Azmir.
Terdahulu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim, mendedahkan bahawa kes jenayah seksual di negeri ini mencatat peningkatan sebanyak 31 peratus pada tahun 2024.
Sebanyak 51 kes dilaporkan berbanding 39 kes pada tahun sebelumnya, dan lebih menyedihkan apabila sebahagian besar kes melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja bawah umur.
“Kes-kes ini turut melibatkan murid seawal usia 12 tahun hingga 16 tahun. Ada yang hamil dan melahirkan anak di usia muda,” katanya.
Menurutnya, hampir semua kes berpunca daripada perkenalan melalui media sosial seperti WhatsApp, TikTok, Facebook dan Telegram.
“Perkenalan singkat di platform digital boleh membawa padah sepanjang hayat, terutama kepada remaja perempuan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025




















