Kehilangan Pamela Ling: SPRM didesak beri penjelasan

Bakal hadapi tindakan undang-undang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus menerima tekanan berhubung kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh apabila keluarga mangsa menggesa badan itu tampil memberikan penjelasan secara terbuka dan telus.

- Advertisement -

Dalam satu kenyataan semalam, peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo mempersoalkan sikap membisu SPRM terhadap kes berkenaan walaupun lebih sebulan berlalu sejak wanita itu dilaporkan hilang.

Beliau membangkitkan persoalan sama ada SPRM telah mengemukakan maklumat berkaitan siasatan mereka kepada pihak polis secara lengkap dan segera.

Katanya, memandangkan Ling dipercayai terlibat dalam siasatan tertentu, SPRM perlu menjelaskan siapa sebenarnya yang sedang disiasat dan sama ada wujud pihak yang berkepentingan yang mungkin berusaha untuk membisukan beliau.

Sekiranya SPRM sedar bahawa Ling memiliki maklumat penting atau sensitif yang boleh mendedahkan pihak tertentu, agensi itu sepatutnya bertindak awal dengan memaklumkan kepada polis, tegas Sangeet.

“Tindakan menyembunyikan maklumat penting bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah mungkin telah membahayakan nyawa seseorang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sekiranya SPRM terus memilih untuk berdiam diri tanpa memberi penjelasan kepada keluarga dan masyarakat, tindakan undang-undang seterusnya akan diambil bagi memaksa pendedahan fakta yang sebenar.

Buat masa ini, siasatan kehilangan wanita berusia 41 tahun itu sedang dijalankan oleh pihak polis, manakala SPRM menyatakan mereka menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. – HARAKAHDAILY 22/5/2025

- Advertisement -