
KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia sebagai negara kelima tertinggi di Asia dari segi populasi transgender menjadi isyarat membimbangkan kepada arus normalisasi budaya lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Pengerusi Lajnah Pembangunan Insan dan Kerukunan Keluarga Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Asmak Husin berkata, ia menunjukkan perkara itu kian menular secara terbuka dan terancang dalam masyarakat.
Menurut beliau, meskipun metodologi statistik yang dikeluarkan oleh ‘World of Statistics’ tidak diperincikan, isu sebenar bukanlah terletak pada angka semata-mata.
“Bagi saya yang lebih membimbangkan daripada angka itu adalah budaya yang sedang dinormalisasikan perlahan-lahan dalam masyarakat kita.
“Sering kali ia hadir dalam bentuk hak peribadi, kebebasan ekspresi dan tolak diskriminasi, namun akhirnya bertukar menjadi sesuatu yang jauh lebih besar.
“Iaitu pengiktirafan undang-undang terhadap dosa yang dikutuk Islam,” katanya turut memberi amaran agar Malaysia tidak mengulangi kesilapan Thailand.
Negara Gajah Putih itu pada Januari lalu menjadi negara pertama di Asia Tenggara mengiktiraf perkahwinan sejenis selepas diluluskan oleh Parlimen dan mendapat perkenan diraja.
“Bagaimana ia boleh berlaku? Golongan ini telah memanipulasi dan menanam kepercayaan dalam kalangan ahli politik muda, hingga akhirnya termaktub dalam undang-undang.
“Di Thailand, budaya pop seperti drama Boys Love, media sosial dan gerakan demokrasi telah mengangkat LGBT sebagai sebahagian daripada perjuangan hak asasi manusia.
“Ia bermula sebagai trend dan hak amalan peribadi, kemudian diterima oleh korporat, universiti dan akhirnya diluluskan di Parlimen. Benarlah, apa yang bermula dengan normalisasi budaya, akan berakhir sebagai dasar negara,” katanya.
Di Malaysia katanya, jalan ke arah itu sudah mula terbuka termasuk kandungan drama dan media sosial yang memaparkan pasangan sejenis secara komersial.
Bahkan menurut bekas Ahli Dewan Negara ini, ada yang memberi ruang kepada golongan tersebut mempengaruhi pemikiran kanak-kanak dan remaja.
“Kalau di sosial media, lagi terbuka, siap mendidik dan mengajak orang ramai termasuk kanak-kanak jadi seperti mereka.
“Lihat sahaja apabila Trengganu menaikkan papan tanda pengharaman LGBT, ada golongan yang terus membantah dan bersuara hak kebebasan asasi.
“Walaupun undang-undang kita masih kukuh, namun penerimaan masyarakat terhadap naratif LGBT semakin meningkat dan tidak mustahil sedikit demi sedikit polisi akan lebih terbuka.
“Dan paling parah apabila ia diiktiraf secara undang-undang,” katanya menyuarakan kebimbangan tersebut dalam satu kenyataan, semalam.
Justeru, beliau menyeru agar masyarakat Islam mempertahankan maruah dan struktur keluarga dengan ilmu, hikmah dan ketegasan, serta menegaskan bahawa isu itu bukan soal prejudis.
“Islam tidak pernah menindas. Kita menolak penghinaan terhadap insan, tetapi kita juga tidak boleh mengiktiraf dosa sebagai norma.
“Kita bimbing yang tersasar, bukan benarkan kemungkaran dijadikan perlembagaan. Kita tolak diskriminasi, tetapi jangan kita longgar dalam menolak ideologi yang bercanggah dengan fitrah,” ujarnya.
Beliau turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang menyeru umat Islam agar menolak kemungkaran dengan kuasa, kata-kata atau hati sebagai tanda keimanan.
“Malaysia mesti tegas dan belajar daripada Thailand, bukan meniru jalannya. Apa yang bermula sebagai budaya, tidak mustahil akan berubah menjadi dasar undang-undang.
“Hari ini, mereka kata ia pilihan peribadi. Esok, ia masuk ke dalam silibus. Lusa, ia menjadi hak undang-undang yang wajib diraikan dan generasi anak kita tidak lagi tahu apa itu dosa dan apa itu fitrah.
“Wahai ibu dan ayah, ini masa untuk kita bangkit. Bersama pertahan nilai Islam dan keluarga, dengan ilmu, hikmah dan keberanian,” katanya.
Terdahulu, sebuah laman analisis demografi telah mendedahkan data terkini mengenai sepuluh negara dengan populasi transgender tertinggi di benua Asia.
Berdasarkan laporan tersebut, Filipina mencatatkan jumlah tertinggi dengan anggaran 239,000 individu transgender, mengatasi Thailand yang merekodkan sekitar 62,000 individu.
Pakistan berada di kedudukan ketiga dengan 52,000 individu, diikuti oleh Indonesia di tempat keempat dengan anggaran 43,000 individu transgender.
Malaysia pula berada di tangga kelima, dengan populasi transgender dianggarkan seramai 24,000 individu.
Negara-negara lain dalam senarai 10 teratas termasuk Nepal (21,000), Kemboja (15,000), Bangladesh (12,000), Iran (10,000), dan Myanmar (9,000). – HARAKAHDAILY 22/5/2025











