
KUALA LUMPUR: Isu kos sara hidup yang kian menekan serta konflik dalaman parti pemerintah menjadi tumpuan kritikan terhadap tahap kestabilan sebenar Kerajaan Madani.
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Muhammad Hanif Jamaluddin berkata, reaksi rakyat di media sosial menunjukkan kebimbangan terhadap hala tuju dan keutuhan gabungan parti dalam kerajaan ketika ini.
“Melihat pada reaksi warga maya menunjukkan sebaliknya. Penjawat awam mahukan kerajaan yang stabil, persoalannya adakah kerajaan Madani ketika ini benar-benar stabil?
“Walaupun mereka bekerjasama dalam kerajaan Perpaduan namun keretakan dilihat semakin ketara. Akar umbi Umno dilihat tidak selesa dengan kerjasama bersama DAP.
“Selama ini kedua parti sebagai musuh politik selama berdekad. Beberapa kenyataan DAP yang dilihat semakin berani ‘mengguris’ sensitiviti Umno.
“Pemimpin kanan Umno seperti Ketua Pemuda dan beberapa veteran parti menyuarakan rasa tidak puas hati secara terang terangan,” katanya mengulas isu terkini.
Selain itu katanya, konflik dalaman PKR turut menjadi perhatian, khususnya melibatkan pertembungan antara Dato’ Seri Rafizi Ramli dan kem yang dilihat berpihak kepada Nurul Izzah Anwar
“Kempen pemilihan Timbalan Presiden PKR, HIRUK yang dibawa oleh Rafizi telah membongkar pelbagai isu dalaman PKR. Pemilihan parti yang dikatakan tidak telus serta pertebungan dalaman yang teruk.
“Pertembungan dalaman ini pastinya menganggu perjalanan pentadbiran negara. Menteri yang sepatutnya fokus pada kestabilan ekonomi sedang sibuk jelajah seluruh negara.
“Hanya memperjuangkan nasib politik dirinya. Pertembungan ini boleh disaksikan secara langsung,” katanya.
Dalam pada itu katanya, peningkatan kos sara hidup dilihat sebagai cabaran terbesar kerajaan ketika ini termasuk kenaikan harga barangan asas.
Rakyat juga menurutnya, berdepan kos sewa dan pembelian rumah, yuran pendidikan, perkhidmatan kesihatan serta pengangkutan awam.
“Pelbagai lagi isu kos sara hidup yang semakin menekan. Kerajaan Madani ketika ini berada dalam fasa stabil tetapi genting,” katanya.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa sebanyak 65.3 peratus kakitangan awam telah memilih untuk Kerajaan Madani diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Namun, Hanif mempersoalkan sama ada sokongan tersebut benar-benar mencerminkan kehendak keseluruhan rakyat, terutama dalam suasana semasa yang menyaksikan keresahan terhadap kos sara hidup dan ketidaktentuan politik dalaman kerajaan.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan yang dilaungkan tidak seharusnya nampak stabil di mata umum semata-mata, tetapi perlu diterjemahkan melalui pentadbiran yang telus.
Juga ke atas dasar ekonomi yang berkesan, serta perpaduan dalaman yang kukuh dalam kalangan parti-parti gabungan. – HARAKAHDAILY 22/5/2025











