
KUALA LUMPUR: Dato’ Dr Azman Ibrahim tidak bersetuju dengan cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun, sebaliknya mencadangkan agar ia diturunkan kepada 55 atau 58 tahun sahaja.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berpandangan, sekiranya terdapat individu yang memiliki kepakaran khusus dan masih diperlukan, khidmat mereka boleh disambung secara kontrak.
Namun katanya, bagi jawatan biasa seperti kerani dan guru, perkhidmatan sehingga usia lanjut tidak sesuai dengan keupayaan fizikal dan situasi kerja semasa.
“Nak minta kerani berkhidmat sampai umur 65 tahun, saya bimbang ada yang sudah kelabu mata tengok ‘keyboard’ komputer. Cikgu pun kasihan juga, sekolah empat tingkat tak ada lif, larat ke nak naik turun tangga?” ujarnya.
Beliau sendiri berpengalaman berkhidmat dalam sektor awam selama 30 tahun dan menyifatkan tempoh tersebut sudah mencukupi untuk memberi sumbangan kepada negara.
“Graduan baharu ramai yang sedang menunggu peluang pekerjaan. Sudah tiba masanya mereka pula diberi ruang untuk berbakti,” katanya yang juga Exco Kerajaan Negeri Terengganu.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan agar had usia persaraan wajib dinaikkan.
Iaitu kepada 65 tahun berikutan peningkatan jangka hayat rakyat serta keupayaan golongan berusia untuk terus menyumbang secara aktif. – HARAKAHDAILY 22/5/2025











