
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan memerlukan kerjasama Kerajaan Pusat bagi meneroka dan memajukan industri nadir bumi (REE) di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, terdapat beberapa perkara yang memerlukan kerajaan negeri mengikuti prosedur ditetapkan Kerajaan Pusat.
Katanya, walaupun diberi peluang, kerajaan negeri tidak boleh bertindak sesuka hati tanpa merujuk garis panduan yang telah ditetapkan.
“Dalam konteks Kelantan, kita mulakan dengan PMBK (Perbadanan Menteri Besar Kelantan) terlebih dahulu untuk tujuan ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau berkata, usaha penerokaan REE akan dimulakan di kawasan yang tidak berisiko atau melibatkan larangan seperti hutan simpan dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).
Menurutnya, kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa lokasi REE yang sesuai dan tidak bermasalah untuk diteroka.
Dua daripadanya telah pun diluluskan kepada PMBK dengan kerjasama dua syarikat terlibat.
“Bagaimanapun lokasi-lokasi tersebut tidak boleh didedahkan kepada umum setakat ini.
“Tetapi kita akan menandatangani satu perjanjian tidak lama lagi, dalam usaha penerokaan dan pembangunan REE di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, PMBK juga sedang berbincang dengan Lynas Malaysia Sdn Bhd bagi menjayakan usaha tersebut.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan juga perlu mempunyai hala tuju untuk pembangunan industri nadir bumi negara selepas daripada ini.
“Termasuk ke mana mahu dibawa dan dipasarkan hasil REE yang diteroka dan dibangunkan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/5/2025




















