
KUALA LUMPUR: Syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menandatangani kontrak bernilai RM31 juta dengan syarikat penerbangan Air Arabia bagi pembelian sebanyak 10,000 tempat duduk bagi musim umrah tahun 1447H (2025/2026M).
Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani itu merupakan satu komitmen bersama untuk terus mempermudahkan urusan ibadah umat Islam di Malaysia, terutama golongan sederhana dan keluarga besar.
“Hari ini kita menyaksikan buat kali ketiga kerjasama termeterai di antara Andalusia Travel and Tours dan Air Arabia, syarikat penerbangan kos rendah yang telah benar-benar membuktikan bahawa ‘low cost’ tidak semestinya ‘low quality’.

“Air Arabia menawarkan lebih daripada sekadar tambang murah. Ia adalah jenama global dengan rangkaian laluan penerbangan yang sangat luas merentasi Timur Tengah, Asia, Eropah dan Afrika Utara,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che Ngah dan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumitra Malaysia (Bumitra), Dr Wan Muhammad Adam Wan Norudin.
Tambah Ida Riswana, walaupun Air Arabia berpangkalan di Sharjah, UAE, tempoh transit yang ditawarkan adalah singkat dan selesa, membolehkan jemaah sampai ke destinasi dengan lebih cepat tanpa keletihan yang berlebihan.
“Para jemaah tidak perlu risau kerana akan dibantu oleh pegawai di lapangan terbang untuk ke balai perlepasan seterusnya. Maka tiada akan berlakunya jemaah lewat tiba di pintu perlepasan.
“Kejayaan ini juga tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada lebih 230 agensi pelancongan B2B dari Malaysia dan luar negara yang sentiasa bersama kami dalam memasarkan pakej-pakej Andalusia ke seluruh pelusuk negara.
“Andalusia amat menghargai kesetiaan dan kerjasama erat ini, dan kami berharap hubungan ini akan terus diperkukuhkan,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu melahirkan rasa bangga apabila Andalusia baru-baru ini menerima pengiktirafan The Brandlaureate Best Brands Awards 2023-2024 sebagai jenama peneraju dalam sektor pelancongan umrah dan haji di Malaysia.
“Ini membuktikan bahawa pendekatan Andalusia mengutamakan integriti, khidmat pelanggan dan inovasi dalam industri benar-benar memberi kesan kepada pasaran dan masyarakat.
“Semoga usaha ini menjadi sebahagian daripada amal jariah kita bersama. Dan semoga lebih ramai rakyat Malaysia mendapat peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci melalui laluan yang selesa, berpatutan dan bermakna,” katanya.
Sebagi rekod, Andalusia telah berjaya menerbangkan seramai 4,632 jemaah bersama Air Arabia bagi musim umrah tahun lalu. -HARAKAHDAILY 22/5/2025




















