
GEORGE TOWN: Penubuhan Lembaga Sumber Air Pulau Pinang tidak hanya berfungsi sebagai institusi teknikal, tetapi mesti sebagai badan yang berjiwa amanah, demikian kata Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua).
Saranan itu dikemukakan ketika mengambil bahagian pada perbahasan RUU Lembaga Sumber Air Pulau Pinang 2025, sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Kata beliau, berdasarkan pentadbiran Islam, prinsip ‘hisbah’ iaitu mengurus dengan integriti, memelihara keadilan dan menolak pembaziran, amatlah dituntut.
“Lembaga ini harus bertindak bukan sahaja sebagai pelaksana projek, tetapi juga penjaga keadilan akses terhadap air. Semua rakyat, tanpa mengira latar belakang, berhak kepada air bersih dan mencukupi. Lembaga ini juga mesti telus,” tegas beliau.
Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang itu juga mencadangkan agar maklumat seperti data, pelan dan belanjawan diterbitkan secara terbuka.
Tindakan seperti itu katanya, bukan sahaja menepati prinsip akauntabiliti, tetapi selaras dengan tuntutan Islam terhadap amanah dan kejujuran dalam kepimpinan.
“Saya juga berpandangan, RUU ini khususnya pada Seksyen 15 iaitu Fungsi Lembaga, perlu ada klausa untuk menyediakan akses kepada semua data.
“Termasuk laporan dan pelan pengurusan sumber air secara terbuka melalui laman rasmi dan sistem maklumat yang telus. Perkara ini membolehkan rakyat menilai sendiri bagaimana sumber air diurus.
“Ini selari dengan prinsip Islam yang menekankan keterbukaan,” ujar Ustaz Muhammad Fauzi yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.
Sebagai langkah memperkukuhkan ketelusan dan akauntabiliti, beliau juga mencadangkan agar lembaga tersebut mewujudkan satu mekanisme aduan kewangan serta sistem semakan awam.
“Langkah ini membolehkan rakyat mengemukakan pertanyaan, membantah atau meneliti sebarang ketidaktelusan dalam pengurusan dana.
“Mekanisme ini bukan sahaja akan memperkasakan hak rakyat sebagai pemegang taruh utama sumber air, malah akan menggalakkan amalan tadbir urus terbuka.
“(Dan) memastikan setiap sen dana awam digunakan secara berhemah dan berintegriti,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Balik Pulau.
Dalam pada itu, beliau turut menambah agar pemilihan kontraktor, perunding atau pelaksana projek hendaklah dibuat melalui proses perolehan terbuka dan telus mengikut garis panduan kerajaan.
Perkara itu jelasnya, bagi mengelak berlaku ketirisan, amalan pilih kasih, selain memastikan kekuatan nilai wang atau ‘value for money’.
“Sekali lagi ingin saya tekankan agar kita tidak memisahkan pengurusan air daripada nilai ihsan, rundingan, dan keadilan.
“Air bukan milik sesiapa. Air ialah nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk manusia dan alam ini,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/5/2025











