Teroka peluang industri minyak dan gas luar pesisir

EPMS, SINOPEC SLT dan ICSB jalin kerjasama

Muhtar Suhaili (kiri), Jasnih Daya dan Liu Han pada sesi menandatangani dan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama antara Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd, Innoprise Corporation Sdn Bhd dan SINOPEC Heavy Lifting and Transportation Co, Ltd.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerjasama strategik bagi meneroka dan mengambil bahagian dalam peluang industri minyak dan gas huluan serta hiliran di Malaysia, terutamanya di perairan Sabah telah dimeterai tiga syarikat menerusi satu perjanjian.

- Advertisement -

Iaitu antara Eastern Pacific Marine Services Sdn Bhd (EPMS), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) dengan SINOPEC Heavy Lifting and Transportation Co Ltd (SINOPEC SLT) dan Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), syarikat pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah.

Kerjasama itu bertujuan untuk menggabungkan kepakaran teknikal, keupayaan operasi dan pengetahuan serantau yang dimiliki ketiga-tiga pihak bagi menyediakan penyelesaian berimpak dan berorientasikan nilai, sekali gus menyokong aspirasi pertumbuhan bersama dalam sektor berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr Ts Muhtar Suhaili berkata, kerjasama itu seiring dengan fokus Malaysia untuk membangunkan projek minyak dan gas yang kompetitif serta bertanggungjawab, terutama dalam perkhidmatan Kejuruteraan, Persediaan, Penyingkiran dan Pemulihan (EPRR) untuk kemudahan luar pesisir.

“Kerjasama ini merupakan bukti kesepakatan visi semua pihak dalam memacu kecemerlangan operasi, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga Malaysia.

“Pemeteraian perjanjian tiga hala ini hari ini bukan hanya dengan hasrat untuk melaksanakan projek tetapi juga berbekalkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan, integriti, pertumbuhan bakat dan pembangunan mampan.

“Gabungan kepakaran serantau ICSB, kapasiti di peringkat global SINOPEC SLT, serta rekod pencapaian EPIC Berhad dalam memberikan perkhidmatan marin dan pelupusan darat membolehkan satu pasukan berkebolehan dan berdaya saing dibentuk.

“Ini bagi memenuhi keperluan rumit projek serta peluang berkaitan fasiliti luar pesisir,” katanya dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Haji Gulamhaidar @ Yusof Khan Bahadar; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, dan Naib Presiden SINOPEC SLT, Guo Zhong.

Hadir bagi menandatangani perjanjian kerjasama mewakili organisasi masing- masing ialah Muhtar Suhaili; Pengerusi Eksekutif ICSB, Datuk Jasnih Daya, dan Pengurus Besar SINOPEC SLT (Thailand), Liu Han.

Sementara itu, Jasnih Daya menzahirkan penghargaan terhadap peluang untuk menjadi sebahagian daripada kerjasama ini, di mana ICSB memegang saham sebanyak 30 peratus.

“Bagi pihak ICSB, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada EPMS dan SINOPEC SLT atas peluang untuk turut serta dalam kerjasama berpotensi ini.

“Kami amat berterima kasih atas keyakinan yang diberikan terhadap keupayaan kami dan berbangga dapat menyumbang sebagai pemegang saham sebanyak 30 peratus dalam kerjasama ini,” katanya.

Guo Zhong pula menyatakan komitmen syarikatnya terhadap keselamatan operasi, kecekapan pelaksanaan dan pemeliharaan alam sekitar dalam projek penyahtauliahan pelantar luar pesisir, yang juga merupakan usaha penting dalam menyokong peralihan tenaga di Malaysia.

“Kami komited untuk memanfaatkan kepakaran teknikal dan kecemerlangan dalam pengurusan projek bagi memastikan kelangsungan kerjasama yang lancar bersama rakan-rakan strategik di Malaysia.

“Komitmen kami tidak hanya terhad kepada pelaksanaan projek, tetapi juga merangkumi keselamatan operasi, kecekapan pelaksanaan dan pemeliharaan alam sekitar, di samping menyokong pembangunan mampan jangka panjang di rantau ini.

“Dengan menggabungkan kepakaran, pengurusan sumber yang berintegrasi, serta teknologi canggih, kerjasama ini mencerminkan prinsip asas ‘Manfaat bersama dan kejayaan dikongsi’. SINOPEC SLT kekal komited untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat dan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain peluang baharu jangka pendek, kerjasama ini turut meletakkan landasan untuk perkongsian jangka panjang tertumpu pemindahan pengetahuan, pembangunan kandungan tempatan serta inovasi dalam bidang kejuruteraan marin, pentauliahan dan penyahtauliahan di dalam sektor tenaga luar pesisir Malaysia.

Usaha ini bukan sahaja bakal menjana nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan, malah turut menyumbang secara menyeluruh kepada pembangunan sosioekonomi serantau. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -