
IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak menyifatkan projek MyKiosk dilancarkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai satu kegagalan besar yang membebankan rakyat, khususnya peniaga kecil jalanan.
Setiausahanya, Ustaz Nurhafizul Badrul Hisham berkata, purata kos RM25,000 bagi setiap unit kiosk yang hanya bersifat struktur besi empat segi adalah tidak masuk akal dan jauh lebih mahal daripada harga sebuah kereta.
“Bila ramai persoalkan termasuk dalam kalangan parti kerajaan, tiba-tiba Nga Kor Mimg mengamuk. Rakyat diugut untuk dipenjara dan didenda sehingga RM100,000 melalui MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
“Sepatutnya Nga Kor Ming lebih ‘gentleman’ dengan jujur menjawab semua persoalan rakyat. Projek sakit dan gagal Kiosk Madani ini perlu ada yang bertanggungjawab. Siapalah penasihat projek ini hingga tak tengok langsung realiti peniaga jalanan di bawah,” persoalnya.
Tambah beliau, kelemahan ketara dalam pelaksanaan MyKiosk adalah kegagalan kerajaan memahami realiti peniaga jalanan yang bergantung kepada lokasi strategik serta kehadiran pelanggan berubah-ubah.
“Isunya bukan sekadar kos tak masuk akal, tetapi juga dari sudut strategi membantu peniaga kecil jalanan. Orang meniaga nak kan tempat ramai pembeli. Tempat ramai pembeli tidak statik. Ada tempat orang ramai hari Sabtu, hari lain sendu.
“Sebab itu peniaga jalanan berpindah-pindah. Mencari lokasi yang boleh berikan mereka hasil jualan maksima. Tak semua meniaga statik di satu tempat. Inilah punca MyKiosk gagal. Banyak lagi kiosk yang kosong.
“Kerana diletak di tempat tidak strategik. Kadang-kadang parking untuk pelanggan pun tak ada. Kiosk Madani adalah lambang kegagalan Nga Kor Ming. Juga simbol kemungkinan Nga Kor Ming adalah penyamun versi Madani.
“Sebab itu sakan dia mengamuk. Buat rakyat! terus lawan sampai mereka jatuh,” gesa Nurhafizul mengulas isu reaksi Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak itu.
Terdahulu, Nga Kor Ming yang merupakan Menteri KPKT dikatakan akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC susulan dakwaan penyebaran beberapa berita palsu membabitkan projek berkenaan.
Menurut beliau, pihaknya akan membuat aduan kepada MCMC bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











