
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz membidas kegagalan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kerana tidak mengambil tindakan tegas menangani isu kemalangan maut melibatkan lori dan treler yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, insiden kemalangan membabitkan kenderaan berat itu dilihat semakin menjadi-jadi, termasuk yang terbaharu tragedi yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu.
“Begitu banyak punca kemalangan dan kemalangan maut melibatkan lori berlaku, antaranya stereng rosak, tayar tercabut, tayar pecah, masalah brek, dipandu secara laju dan berbahaya, terbabas dan masalah berkaitan pemandu.
“Masalahnya rakyat tidak nampak apa yang dilakukan oleh Menteri Pengangkutan DAP dalam hal ini. Semasa kemalangan dan kemalangan maut melibatkan lori berlaku ketika bulan puasa dan hari raya yang lalu. Apa Menteri Pengangkutan DAP buat? Ghaib?” bidasnya.
Tun Faisal turut menegaskan bahawa isu keselamatan pengangkutan melibatkan lori bukan sekadar membabitkan agensi seperti PUSPAKOM, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“ Obviously ada sesuatu yang tak kena dalam industri pengangkutan melibatkan lori, Menteri Pengangkutan dan Kementerian Pengangkutan. Ini bukan sekadar masalah rasuah, kerja sambil lewa, penggunaan runner, sistem kerja pemandu dan tonto. Bukan juga soal ketiadaan polisi mengenai tayar celup.
“Sebenarnya melibatkan banyak isu yang memerlukan ‘intervention’ menyeluruh daripada Menteri Pengangkutan DAP. Malangnya Menteri Pengangkutan DAP gagal meneliti isu-isu ini dan hanya sibukkan hal PUSPAKOM. Takkan kerja dia, rakyat nak kena ajar? Kalau tak tahu kerja, elok letak jawatan sahaja,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











