
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat, serta seluruh umatnya hingga hari kiamat.
Dengan penuh rasa kasih dan hormat, Dewan Muslimat PAS Pusat ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan penghormatan kepada seluruh ibu di Malaysia. Ibu adalah tiang seri kebahagiaan ummah, penyemai kasih sayang, pendidik generasi pewaris, dan sumber kekuatan keluarga.
Ibu sebagai tiang seri keluarga
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”
(Luqman 31:14)
Uslub ayat ini, “Kami telah berpesan dengan mewajibkan…” merupakan gambaran betapa besar kedudukan ibu dan bapa dalam kehidupan seorang anak. Kemudian Allah menyebut satu persatu jenis kesusahan yang ditanggung oleh seorang ibu yang memakan masa sekurang-kurangnya 31 bulan sehingga habis tempoh menyusu.
Tugasan ibu tidak terhenti di situ, bahkan berlanjutan sebagai pendidik, pembimbing dan pelindung bagi anak-anaknya sehingga mereka meningkat dewasa.
Justeru, Allah SWT mewajibkan anak-anak berbuat ihsan kepada ibu dengan menyayangi, menghormati dan mengasihani mereka sepanjang hayat, waimma selepas mereka meninggal dunia.
Pendirian dan perjuangan PAS untuk ibu di Malaysia
Sebagai sebuah gerakan Islam yang berteraskan keadilan dan kebajikan, PAS sentiasa komited dalam memperjuangkan martabat dan hak ibu-ibu serta wanita di Malaysia. Antara usaha yang telah dan sedang dilakukan PAS untuk ibu adalah:
PAS telah menggubal serta melaksanakan dasar-dasar mesra ibu berteraskan al-Quran dan sunnah melalui negeri-negeri yang dikuasai seperti Dasar Keluarga Mawaddah, Dasar Wanita Solehah dan Dasar Warga Emas Mukramun. Dasar-dasar ini menyebut secara menyeluruh dan terperinci martabat, peranan dan hak wanita sebagai ibu.
Antara martabat, peranan dan hak tersebut ialah:
- Memartabatkan kedudukan wanita sebagai ibu
PAS melalui Dewan Muslimat dan sayap-sayapnya berusaha memperkasakan para ibu dengan memastikan mereka memahami peranan, hak dan tanggungjawab sebagai ibu yang menjadi sayap kiri memimpin sebuah kerajaan rumahtangga.
Seterusnya, bersikap proaktif untuk melaksanakannya agar mencapai objektif bahawa tangan yang mengayun buaian mampu menggoncang dunia.
- Mengiktiraf peranan ibu sebagai pemimpin masyarakat
PAS sering memberi peluang kepada wanita dan ibu untuk menyumbang secara langsung kepada ummah dalam setiap aspek yang sesuai dengan fitrah kejadian mereka.
- Memperjuangkan hak kebajikan ibu secara menyeluruh
PAS sentiasa mengutamakan bantuan dan sokongan kepada golongan ibu termasuk ibu tunggal melalui program kebajikan, bantuan makanan, dan sokongan psikososial.
- Memperkasakan pendidikan keibubapaan
PAS senantiasa mengadakan program pendidikan keibubapaan, termasuk kursus pengurusan keluarga, seminar keibubapaan berlandaskan Islam, dan ceramah motivasi untuk ibu bapa.
- Memperjuangkan polisi mesra wanita dan keluarga
PAS berpendirian bahawa setiap polisi negara harus mengambil kira keperluan wanita dan ibu. Ini termasuk waktu bekerja yang anjal, cuti bersalin yang lebih panjang, sokongan penjagaan anak, dan perlindungan sosial untuk ibu bekerja.
- Melindungi ibu dan wanita daripada penindasan
PAS komited untuk memastikan wanita, termasuk ibu, mendapat keadilan dan perlindungan daripada sebarang bentuk aniaya seperti keganasan rumah tangga dan diskriminasi.
Seruan kepada masyarakat
Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru seluruh masyarakat agar terus menghormati, menyayangi, dan mengutamakan keperluan ibu, terutama jika ibu tergolong dalam kalangan warga emas. Ini termasuk memelihara serta melindungi ibu di rumah sendiri, senantiasa menziarahi ibu sekiranya tidak tinggal bersama, serta mendoakan ibu-ibu kita, baik yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.
Terjemahkan kasih sayang kepada ibu secara praktikal dengan senantiasa bertanya khabar, bercakap secara lemah lembut, dan melindungi mereka daripada disakiti kerana mengasihi mereka merupakan amalan hablumminannas terbaik sepanjang hayat. Bukan sekadar diingati pada Sambutan Hari Ibu, tetapi sepanjang masa.
Marilah kita bersama-sama membentuk masyarakat yang mengutamakan kasih sayang, penghormatan dan pengiktirafan terhadap jasa seorang ibu. Semoga Allah SWT merahmati setiap ibu dan menjadikan kita semua sebagai anak-anak yang berbakti.
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia











