
KERAJAAN Terengganu baru-baru ini mendapat perhatian umum apabila Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri itu meletakkan papan tanda yang mengandungi mesej anti-LGBT di beberapa lokasi tertentu, termasuk berhampiran Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Tindakan ini telah mencetuskan kontroversi dengan sebahagian aktivis hak asasi manusia menganggapnya sebagai diskriminasi. Namun, dari perspektif perundangan dan sosiobudaya Malaysia, tindakan Kerajaan Terengganu mempunyai asas yang kukuh.
Bidang Kuasa Kerajaan Tempatan (PBT)
Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling dekat dengan masyarakat setempat selepas kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Setiap kerajaan tempatan mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kecil di bawah pentadbiran masing-masing. Undang-undang kecil dalam melaksanakan tugas dan fungsi meliputi kawasan pentadbiran yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
Berdasarkan peruntukan undang-undang ini, PBT Terengganu memiliki bidang kuasa yang jelas untuk menggubal dan melaksanakan undang-undang kecil yang bertujuan membentuk keperibadian masyarakat setempat selaras dengan nilai-nilai yang dipegang oleh masyarakat tersebut.
Prinsip Moral dalam perundangan Malaysia
Dalam sistem perundangan Malaysia amnya, pengaruh moral dalam undang-undang di Malaysia bukanlah sesuatu yang tidak wujud secara hakiki. Sebaliknya, undang-undang, moral dan agama saling berkaitan di dalam sistem perundangan Malaysia. Istilah moral dalam perundangan negara ini berkembang seiring dengan beberapa istilah lain, termasuk istilah kesopanan dan kesusilaan.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah menjelaskan tujuan di sebalik papan tanda tersebut dengan berkata: “Memang kita mahu rakyat benci kepada perbuatan homoseksual ini. Kita mahu mereka anggap ia kotor, salah dan perlu dijauhi. Papan tanda seperti ini adalah sebahagian daripada usaha menyemarakkan suasana bandar dengan syiar Islam.”
Keselarasan dengan Perlembagaan dan Rukun Negara
Fakta kajian menunjukkan secara jelas bahawa negara Malaysia adalah sebuah negara beragama. Daripada kuasa-kuasa Perlembagaan bahawa tafsiran moral kesusilaan boleh diselaraskan dengan maksud agama Islam sebagai agama persekutuan di samping kebebasan agama-agama lain.
Kesopanan dan kesusilaan dalam Rukun Negara adalah olahan ringkas daripada keseluruhan prinsip moral dalam Perlembagaan. Oleh itu, tindakan Kerajaan Terengganu adalah selari dengan prinsip Perlembaangan Persekutuan yang dideklirasikan dalam rukun kelima Rukun Negara iaitu ‘Kesopanan dan Kesusilaan’.
Peranan Undang-Undang Kecil PBT membentuk keperibadian masyarakat
Contoh PBT yang menggunakan bidang kuasanya untuk tujuan pendidikan moral ialah Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI). MPKB-BRI telah menggubal dan menguatkuasakan undang-undang kecil yang mengangkat nilai-nilai moral dan holistik yang dilihat paling ke depan berbanding undang-undang kecil kerajaan tempatan di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Hal ini disebabkan MPKB-BRI mempunyai misi dan visi mendokong nilai-nilai Islam bagi memasti komuniti mengamalkan ajaran Islam di dalam kehidupan seharian mereka.
Melalui kuasa yang dianugerahkan oleh Perlembagaan, MPKB-BRI telah mewajibkan para peniaga yang beragama Islam supaya memakai pakaian menutup aurat. Manakala bagi yang tidak beragama Islam, supaya berpakaian yang sopan dan bersesuaian dengan adat ketimuran. Perlaksanaan ini telah berjaya membentuk peribadi masyarakat dan memberi imej yang baik kepada pengunjung yang datang berkunjung ke negeri tersebut.
Pendekatan pendidikan bukan diskriminasi
Wan Sukairi menekankan bahawa papan tanda tersebut bersifat pendidikan. “Kita sasarkan kawasan IPT sebab di situ ramai anak muda. Mesej ini penting supaya mereka tidak terjebak dengan perkara-perkara negatif,” ujarnya. Dia juga menegaskan bahawa setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Terengganu boleh memilih gaya penyampaian yang berbeza, namun tujuannya tetap sama, iaitu untuk mendidik dan mencegah.
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, tindakan Kerajaan Terengganu meletakkan papan tanda anti-LGBT adalah selari dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada, prinsip Perlembagaan Persekutuan, nilai-nilai Rukun Negara, dan norma masyarakat Malaysia.
Berdasarkan prinsip kesusilaan yang disemai dalam ideologi negara dan diperundangkan menyebabkan nilai-nilai akhlak yang murni seperti pakaian yang menjolok mata, pergaulan bebas, perlakuan kurang sopan dan khalwat masih boleh dikawal di Malaysia.
Papan tanda tersebut merupakan alat pendidikan bagi menyampaikan nilai-nilai moral dan agama yang telah lama menjadi teras identiti masyarakat Malaysia, terutamanya di Terengganu. Dalam konteks ini, tindakan Kerajaan Terengganu bukanlah diskriminasi, tetapi merupakan usaha menjaga keharmonian dan kesejahteraan masyarakat berdasarkan nilai-nilai yang telah dipersetujui bersama dalam kerangka undang-undang Malaysia.
WAN MOHD SHARAFI WAN MUSTAFFA
Penulis ialah seorang penyelidik berkaitan Undang-Undang Kecil di Bawah PBT iaitu Undang-undang Pakaian Sopan bagi peniaga bukan Islam yang dikuatkuasakan oleh MPKB-BRI – HARAKAHDAILY 21/5/2025











