
KUALA LUMPUR: Rasuah sudah menjadi ‘perkara wajib’ bukan sahaja bagi pemimpin-pemimpin politik, malah bagi pegawai kerajaan yang berkhidmat dalam negara ini.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hasan Syed Ali berkata, rasuah kini bukan lagi ‘budaya’ dan segala masalah serta kemelut yang berlaku adalah disebabkan oleh kegiatan berkenaan.
“Jika seorang pegawai yang tidak mahu ambil rasuah, mereka akan dipindahkan ke jabatan yang lain, jabatan yang ‘sejuk’. Kalau kamu penguat kuasa majlis perbandaran, kamu baik, kamu tidak mahu ikut (rasuah), kamu akan dikeluarkan.
“Di Malaysia begitulah, Di peringkat penguatkuasa, apa jabatan sekalipun, kamu tidak akan dapat tempat, nak naik pangkat pun susah. Isu berkaitan ekonomi Bumiputera yang semakin parah pun disebabkan rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temubual eksklusif ‘Menjelang Himpunan Berdaulat 24 Mei’ di laman TikTok Perspektif 360, malam tadi.
Syed Hasan turut menyentuh mengenai isu pengambilan tanah secara paksa di Kampung Sungai Baru, di sini, di mana majoritinya 100 peratus ialah orang Melayu yang kini telah ditindas oleh kerajaan dan pihak pemaju.
“Sekarang ini nak jadi pemimpin pun, mereka kena ‘geng’ dengan pemimpin rasuah. Presiden rasuah, orang di bawah semua akan rasuah. Siapa yang rasuah, mereka akan dilabel sebagai ‘geng’ mereka.
“Kalau mereka tidak rasuah, mereka akan ditentang, digugurkan dan dituduh macam-macam. Mereka tergamak meluluskan kebenaran untuk merancang, kelulusan untuk memulakan projek, semua di tangan mereka.
“Mereka tahu apabila projek pembaharuan dibuat. Penduduk yang 100 peratusnya orang Melayu akan ditempatkan hanya 30 peratus keluasan tanah, manakala 70 peratus lagi akan dibuat kondominium-kondominium baru,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memuji pemimpin-pemimpin PAS kerana dilihat bebas dan tidak terlibat dengan kegiatan rasuah berbanding apa yang berlaku dalam kalangan ahli politik parti lain.
“Tak pernah dengan pemimpin-pemimpin PAS dihadapkan ke mahkamah dengan kes-kes puluhan juta. Sekarang ini kita biasa dengar, bukan setakat puluhan juta, malah ratusan juta semua ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











