Rakyat digalak pilih lembu tempatan untuk korban

Dato' Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail
- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyarankan rakyat yang akan melakukan ibadah korban memilih lembu tempatan, kerana berlaku kes haiwan diseludup melalui pengkalan haram, sekali gus ia bagi mengelakkan penularan sebarang penyakit.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pemilihan haiwan korban seeloknya adalah yang diternak di sekitar kawasan setempat kerana kualiti kesihatannya lebih terjamin.

“Kalau boleh, kita utamakan lembu tempatan seperti Kedah, Kelantan, hibrid serta kacukan seperti Brahman dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco di MABNA Kompleks Darulnaim, di sini semalam.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa setakat ini kerajaan negeri belum menerima sebarang data berkaitan penyakit jangkitan anthrax yang disebabkan bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia di negeri ini.

Menurutnya, kejadian yang berlaku di negara jiran juga tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada penduduk tempatan untuk makan daging.

Tuan Mohd Saripudin yang juga ADUN Selising turut memberitahu bahawa bekalan lembu korban di Kelantan adalah mencukupi sebagaimana tahun lepas, tiada isu berkaitan bekalan lembu kerana Kelantan berjiran dengan Thailand.

“Kemasukan lembu-lembu dari sana sedang berjalan sebagaimana biasa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh MAQIS (Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia).

“Lembu yang dibawa masuk perlu melalui proses suntikan dan pendaftaran supaya bebas penyakit serta membolehkan ibadah korban berjalan dengan baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025

- Advertisement -