
KUALA TERENGGANU: Restoran Panorama yang pernah menjadi tarikan pelancong kerana keindahan pemandangan Bandar Kuala Terengganu dari puncak bukit bakal dibaik pulih bermula Julai ini.
Datuk Razali Idris memaklumkan, proses baik pulih akan dijalankan oleh pengusaha baharu yang telah menandatangani kontrak bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Katanya, kerja baik pulih membabitkan kos kira-kira RM500,000 dan dijangka mengambil masa enam bulan sebelum restoran itu kembali beroperasi pada suku pertama tahun hadapan.
“Saya nak ucap banyak terima kasih kepada semua yang terlibat di media sosial yang membuat laporan tentang Restoran Panorama dan menyentuh sektor pelancongan.
“Saya secara bersungguh memastikan semua sektor pelancongan di Negeri Terengganu dalam keadaan yang baik setakat yang kita mampu.
“Jadi pada hari ini, apabila ia disentuh dan terbabit dengan pelancongan, kita bersama dengan pemegang taruh MBKT cuba datang, kita tengok apa sebenarnya berlaku dan kita dapat hasil.
“Kita tengoklah hari ini memang teruk sangat seperti mana yang dilaporkan dalam media. Memang itu perkara yang betul,” katanya Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri itu.
Perkara itu dinyatakan beliau pada sidang media selepas lawatan tapak pembangunan Restoran Panorama, Bukit Pak Apil, di sini semalam.
Mengulas faktor penyebab restoran itu terbengkalai beliau berkata, kontraktor terdahulu tidak menunjukkan komitmen dalam masa sama kontraktor yang dilantik selepas 2021 juga gagal melaksanakan kerja baik pulih sebelum menyerahkannya semula kepada MBKT.
“Bermulanya kerosakan ini adalah pada tahun 2017 sudah ada kerosakan dan dapat laporan mengenai kontraktor tidak lagi mempunyai roh untuk mengendalikan restoran Panorama ini.
“Kalau kita tengok Restoran Panorama ni memang makanan paling utama, sedap tapi keindahan alam semula jadi pun bagus. Dulu masa peringkat awal keadaan dia terang pokok seperti sekarang. Kita boleh nampak Bandar Kuala Terengganu dan itu satu daya tarikan.
“Pada 2017 apabila kontraktor sudah tak mampu lagi, maka kerajaan dulu terpaksa menunggu untuk ganti dengan kontraktor baru. Tahun 2021 ada satu kontraktor kontraktor, tak sempat nak buat disebabkan Covid-19 melanda.
“Itu yang jadi huru hara, kontrak ada 3 tahun lagi dan akhirnya kontraktor itu tinggal apabila mengalami kerugian,” jelasnya beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.
Bagaimanapun katanya, pengusaha baharu yang dipilih dilihat serius dan bersedia untuk membaik pulih serta menguruskan restoran dengan lebih berdaya saing mengikut perjanjian selama sembilan tahun.
“Pengusaha baharu ini akan menguruskan restoran tersebut berdasarkan kontrak selama sembilan tahun dan segala kos renovasi ditolak daripada sewa bulanan yang dipersetujui.
“Saya sudah minta supaya kerja baik pulih dapat dimulakan lebih awal pada 1 Jun ini, namun ia masih dalam perbincangan. Kita harap usaha kali ini benar-benar berjaya kerana restoran ini bukan sekadar tempat makan tetapi lokasi pelancongan yang bernilai tinggi,” ujarnya.
Tambah Razali, selain keenakan makanan, faktor pemandangan semula jadi dan layanan profesional turut menjadi daya tarikan yang perlu diberi perhatian oleh pengusaha.
“Saya harap untuk kali ini MBKT kena prihatin betul-betul melihat kontraktor ataupun pengusaha ini biar orang mempunyai roh restoran dan juga pelancongan.
“Kalau tidak, tak jadi, ini bukan jual restoran tepi jalan, ini Panorama dan orang nak orang nak tengok suasana atas ni,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/5/2025











