
KUALA TERENGGANU: Terengganu berpotensi untuk menjadi hab utama pengeluaran stevia di Malaysia menerusi projek berskala besar yang bakal dilaksanakan di negeri itu.
Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, syarikat Sinar Bio Sdn Bhd kini dalam proses melaksanakan kerja-kerja awal bagi memulakan projek tanaman stevia seluas kira-kira 2,000 ekar.
Menurut beliau, daerah Setiu telah dikenal pasti sebagai lokasi utama penanaman stevia serta tapak pembinaan kilang pemprosesan bagi produk berasaskan tanaman tersebut.
“Insya-Allah, Terengganu bakal menjadi hub pengeluaran stevia negara,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri itu.
Tambahnya lagi, stevia yang digunakan sebagai pemanis semula jadi kini semakin mendapat tempat di peringkat global kerana cirinya yang lebih mesra kesihatan berbanding gula biasa.
“Penggunaan stevia sebagai manisan gantian gula telah digunakan di seluruh dunia sebagai produk yang lebih mesra kesihatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau, hari ini.
Stevia merupakan tumbuhan pemanis semula jadi yang semakin popular di peringkat antarabangsa kerana mengandungi sifar kalori dan sesuai untuk penghidap diabetes, sekali gus menjadi alternatif lebih sihat kepada gula biasa.
Di peringkat global, stevia telah digunakan secara meluas dalam industri makanan, minuman dan farmaseutikal. Jepun, Amerika Syarikat, China dan beberapa negara Eropah antara pengguna utama pemanis ini dalam produk komersial. – HARAKAHDAILY 7/5/2025




















