
KOTA BHARU: Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK) menjadi benteng utama pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus bebas gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, jika ada masalah sekalipun ia merupakan kes terpencil.
Beliau berkata kerajaan negeri komited melaksanakan pelbagai program serta memberi fokus bagi melahirkan modal insan berkualiti untuk pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.
“Setakat ini pelajar YIK, semua bebas dadah sebab kita ada dasar DPRK yang dirangka oleh kerajaan negeri untuk menetapkan nilai syariat Islam dalam setiap diri masyarakat kita ini.
“Kita juga melaksanakan program pembinaan sahsiah kepada pelajar, amalan yang baik dan latihan pelajar dengan amalan harian yang diajar oleh agama kita,” katanya di sini hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu berkata, pihaknya mengambil pendekatan mendidik sekiranya mendapati ada pelajarnya terlibat dengan aktiviti tersebut.
Beliau berkata, pihak sekolah akan berbincang bersama keluarga pelajar untuk memutuskan pendidikan seterusnya sama ada dihantar sekolah lain atau pondok demi kebaikan pelajar.
Malah pihaknya juga sentiasa bekerjasama rapat dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi melaksanakan kempen kesedaran pelajar menjauhi penggunaan dadah.
“Setakat ini tidak ada lagi, kita tidak mengamalkan buang sekolah tetapi kita mengamalkan perbincangan untuk selesai masalah pelajar bersama ibu bapa dan keluarga pelajar terbabit.
“Itu konsep kita sebab itu mendidikan bukan kita menghukum, saya menjadi pengetua selama 10 tahun, ada dalam kes terpencil dan kita selesaikan benda ini bersama ibu bapa,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2025




















