
ALOR SETAR: Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) bukan sekadar tempat untuk belajar dan khatam Al-Quran semata-mata, sebaliknya yang lebih penting adalah didikan dan adab, demikian kata Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Penerangan dan Komunikasi itu menegaskan, kerajaan negeri amat menekankan hala tuju dan corak pembentukan negeri, berteraskan Al-Quran dan Al-Hadis.
“Bukan sekadar belajar dan khatam Al-Quran, tetapi yang kita mahu dan sasarkan agar Al-Quran akan menjadi antara perkara utama pembudayaan baharu oleh setiap rakyat Kedah untuk melahirkan manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT,” katanya.
Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Sah Khatam Hafazan Al-Quran Dan Graduasi Kali Ke- 38, IQDAR, bertempat di Kelab Kedah DiRaja, semalam.
Di mana pada majlis itu, seramai 39 graduan IQDAR berjaya menamatkan Diploma Tahfiz Al-Quran dan Qiraat.
Dalam pada itu, beliau megharapkan usaha berterusan turut dilakukan bagi memastikan institusi pendidikan di Kedah menjadi medan yang boleh menampung sekolah-sekolah agama di peringkat menengah.
Beliau juga tidak lupa mengucapkan penghargaan kepada IQDAR atas usaha serta komitmen membantu menjayakan agenda kerajaan negeri.
Terutama katanya, pada program penghayatan Al-Quran yang telah dimulakan pada 30 November 2023 khususnya bacaan Al-Quran setiap pagi di Wisma Darul Aman.
“Kerajaan negeri turut berbangga apabila Kedah dinobatkan sebagai Johan keseluruhan. Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan salah seorang pesertanya adalah pelajar daripada IQDAR,” tambah beliau lagi.
Justeru, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu lagi, institusi pendidikan Islam yang ada di Kedah ini diharapkan agar berjalan seiring dengan gagasan kerajaan negeri, menjadi Cordoba of Kedah dan penyumbang merealisasikan ‘The Greater Kedah’.
Antara yang turut hadir pada majlis berkenaan, termasuklah Timbalan Pengerusi Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK), Syeikh Mohamad Rodi Abdul Rahman dan ADUN Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari. – HARAKAHDAILY 7/5/2025





















