
KANGAR: Belum reda lagi kemeriahan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan serta Festival PERMAI minggu lalu, negeri Perlis terus memacu gelombang acara besar dengan deretan program menarik sepanjang hujung minggu ini.
Antaranya dengan penganjuran Malam Citrawarna Kuala Perlis, Perkampungan Sunnah Siri Ke-10, Pasar Lokal Pasar Kita di Kangar Street Art dan RD Rider Rides Perlis 2025.
Himpunan pelbagai jenis acara dari kebudayaan, keilmuan, keusahawanan, seni jalanan hingga ke konvoi bermotor ini menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri kecil yang sarat dengan semangat besar.
Citrawarna warna-warni budaya
Malam Citrawarna Kuala Perlis yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat, 9 Mei 2025 jam 8 malam di Dataran Lok 9 merupakan antara acara kemuncak Festival Rakyat 2.0 sempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Raja Perlis dan Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Tuanku Raja Perlis.
Dianjurkan oleh Persatuan Khazanah Kuala Perlis dengan kerjasama Kerajaan Negeri, malam penuh warna ini akan menampilkan persembahan pelbagai etnik, pertunjukan seni tradisi, pameran produk tempatan dan persembahan istimewa artis jemputan yang masih dirahsiakan identitinya.
Program seperti ini menghidupkan semangat perpaduan dan mengangkat nilai budaya setempat, serta bakal menjadi medan generasi muda mengenal jati diri asal mereka.
Perkampungan Sunnah semarak ilmu
Di Kangar pula, Masjid Alwi akan menjadi medan limpahan ilmu dan semangat dakwah menerusi Perkampungan Sunnah Ke-10 pada tarikh 9 hingga 11 Mei 2025, bertemakan “Islam: Mengangkat Kebijaksanaan, Meruntuh Kedangkalan.”
Program ini menghimpunkan lebih 40 tokoh ilmuwan dan pendakwah dari dalam serta luar negara, dengan pelbagai slot ilmu seperti kuliah Subuh, halaqah wanita, forum Dhuha, khutbah khas, kuliah Maghrib dan Forum Perdana Penutup bertajuk “Menjunjung Budaya Ilmu Dalam Beragama.”
Pasar lokal: Usahawan dan komuniti bersatu
Di tengah-tengah bandar Kangar, Pasar Lokal Pasar Kita akan memeriahkan suasana dari 4 petang hingga 12 malam pada 9 hingga 11 Mei.
Program ini menghimpunkan usahawan tempatan, gerai makanan jalanan, pameran seni kreatif dan persembahan busking oleh bakat muda tempatan.
Pasar ini bukan sekadar jual beli, ia tentang membina komuniti, menyokong produk tempatan dan mencipta ruang positif untuk anak muda.
Kangar Street Art: Jiwa seni rakyat
Bagi pencinta seni visual, Kangar Street Art membawa warna dan mesej melalui mural yang menghiasi lorong-lorong di sekitar ibu negeri Perlis.
Lukisan bertemakan “Perlis Kecil Yang Besar Jiwa” ini menjadi tarikan baharu pelancong dan simbol kebangkitan komuniti seni Perlis.
Lukisan ini cerita tentang rakyatnya yang mendiami negeri kecil, tapi dengan mimpi dan harapan yang besar.
RD Rider Rides Perlis: Kenduri dan komuniti permotoran
Tidak kurang meriah ialah program RD Rider Rides Perlis 2025 yang berlangsung di My Home Village, Arau dari 9 hingga 11 Mei.
Acara konvoi motosikal anjuran komuniti RD RoRider ini bakal menghimpunkan ratusan penunggang dari seluruh negara dalam suasana santai dan penuh ukhuwwah.
Dengan aktiviti seperti sesi bergambar (photoshoot), cabutan bertuah (lucky draw), pameran motosikal, dan kenduri program ini menjadi jambatan antara minat permotoran dan nilai kekeluargaan.
Perlis: Dari ejekan jadi inspirasi
Ungkapan sinis ‘8 orang’ yang dahulu dijadikan bahan gurauan kini menjadi simbol kecekalan.
Perlis membuktikan bahawa negeri kecil mampu menggagas acara besar melalui kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), agensi pusat dan masyarakat tempatan.
Negeri kecil, tetapi semangat besar, tidak perlu megah dengan infrastruktur, cukup rakyat yang aktif dan harmoni.
Kombinasi budaya, ilmu, seni, sukan dan komuniti yang dirangka sepanjang hujung minggu ini mencerminkan visi Perlis sebagai negeri berkebajikan dan berdaya rakyat sesuai dengan tema Perlisku Bestari Berkat Lestari. – HARAKAHDAILY 7/5/2025
























