
ALOR SETAR: Austria Technologie Systemtechnik AG (AT&S), salah satu pengeluar litar bersepadu (IC) dan papan litar bercetak terkemuka, kini telah bersedia untuk pengeluaran volum tinggi di kompleks kilang baharunya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Pengurusan tertinggi AT&S sejak awal tahun 2022 lagi secara rasmi menyatakan hasrat dan keyakinan mereka mengadakan pelaburan di KHTP ketika bertemu Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor ketika itu.
Sanusi pula menyifatkan komitmen pelaburan AT&S bukan sekadar mengujakan, malah memberi manfaat kepada rakyat negeri ini khususnya warga tempatan, membabitkan peluang pekerjaan dan lain-lain.
Maka dengan perkembangan terkini untuk AT&S memulakan pengeluaran volum tinggi ini menandakan pencapaian terpenting bagi syarikat itu dan masa depannya serta impak kepada negeri khususnya dan Malaysia amnya.
Teknologi substrat IC yang diperkenalkan, antara yang termaju di Kulim dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan teknologi Malaysia dengan cara mampan.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Unit Perniagaan Mikroelektronik AT&S, Ingolf Schroeder, kompleks kilang di KHTP, yang disiapkan dalam hanya dua tahun, telah mula menghasilkan substrat IC termaju bagi pemproses pusat data AMD serta pelanggan lain.
“Kemudahan itu dijangka akan mengalami pertumbuhan yang positif, didorong oleh peningkatan permintaan global untuk unit pemprosesan pusat (CPU) termasuk unit pemprosesan grafik (GPU) yang digunakan di pusat data, kecerdasan buatan (AI), realiti maya (VR) dan realiti terimbuh (AR),” jelas beliau.
AT&S juga dijangka akan berada di kedudukan terbaik bagi melayani pasaran pelanggan berprofil tinggi, malah komitmennya terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia.
Secara tidak langsung menjadikannya syarikat itu aktif dengan bekerjasama dengan Penyelidikan Kolaboratif dalam Kejuruteraan, Sains dan Teknologi (CREST) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sehingga kini, AT&S telah melabur kira-kira RM5 bilion (Euro 1 bilion) di KHTP termasuk bangunan pentadbirannya, yang mempunyai kawasan lantai kasar kira-kira 255,000 meter persegi dan perumahan di sekitar 500 mesin berteknologi tinggi.
AT&S Malaysia kini mempunyai kira-kira 1,500 pekerja dan sejak penubuhannya, sejumlah RM600 juta telah dilaburkan dalam usaha Penyelidikan dan Pembangunan (RD).
Komitmen syarikat itu juga dikatakan tidak terjejas walaupun berlaku ketegangan tarif yang berterusan antara China dan Amerika Syarikat, berikutan ia hanya menghasilkan substrat IC dan tidak membekalkan produk akhir.
Dalam pada itu operasinya di Austria, China dan sekarang ini di Malaysia sedang berjalan dengan baik seperti yang telah dirancang serta ditetapkan.
Sanusi juga sebelum ini, mengharapkan pembangunan kilang AT&S di KHTP berjalan lancar di samping berbangga kerana memilih Kedah sebagai destinasi pelaburan.
Malah kata beliau, keperluan tenaga kerja seramai 6,000 orang di sektor pembinaan dan 350 kakitangan pentadbiran dan teknikal, sebahagiannya telah dilatih di KISMEC.
“Seramai 120 pekerja teknikal pula menjalani latihan di kilang mereka di China,” kata beliau sebelum ini. – HARAKAHDAILY 7/5/2025





















