
KOTA BHARU: Kerajaan negeri sekali lagi mengumumkan pemberian hadiah kecemerlangan RM500 kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang peperiksaan awam utama negara seperti SPM, STAM dan STPM.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia sebagai penghormatan kerajaan negeri terhadap kejayaan dicapai.
Beliau berkata, bahkan ia menjadi salah satu usaha kerajaan negeri untuk mengalakkan lagi kecemerlangan akademik dan melahirkan lebih ramai generasi mampu membangunkan negeri dan negara.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada hari ini setuju supaya insentif khas ini diberikan kepada seluruh anak Kelantan yang berjaya dalam tiga peperiksaan pada 2024.
“Ia mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menjayakan agenda pembangunan modal insan yang berkualiti tinggi sejajar dasar Penghayatan Membangun Bersama Islam,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas MMKN hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu berkata, permohonan mula dibuka pada 13 Mei melalui Facebook dan laman sesawang Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Beliau berkata, kerajaan negeri menetapkan syarat bagi SPM mendapat sekurang-kurang 9A, STPM mendapat 4 Prinsipal A dan STAM menerima keputusan Mumtaz dalam keputusan keseluruhan.
Menurutnya lagi, kerajaan negeri meminta semua pelajar yang memenuhi syarat kelayakan tersebut agar membuat permohonan dengan mengisi borang disediakan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Mencapai keputusan ini dia boleh isi borang dan kita akan tentukan satu tarikh untuk dibuat majlis penyerahan yang membabitkan semua pelajar anak Kelantan dan diuruskan oleh YIK.
“Setakat ini MMKN setakat ini lulus bajetnya RM700,000 berdasarkan tahun lepas 1,200 anak Kelantan di mana sahaja mereka ini berada, kalau banyak permohonan ini kita akan tambah lagi,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/5/2025




















