
PENGKALAN CHEPA: Festival Unggas ASEAN 2025 yang julung kali diadakan di Kelantan menjadi platform untuk memperkenalkan negeri ini ke peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, festival berkenaan dianjurkan oleh kerajaan negeri melalui Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) sebagai sebahagian usaha promosi pelancongan.
Katanya, meskipun festival itu baru diperkenalkan tahun ini, namun ia telah menunjukkan sambutan amat menggalakkan dan akan dijadikan sebagai acara tahunan.
“Festival ini merupakan salah satu usaha untuk memperkenalkan Kelantan ke peringkat antarabangsa dan ia termasuk dalam kalendar pelancongan di negeri ini.
“Insya-Allah festival yang julung kali diadakan di negeri ini juga akan menjadi acara tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong ke Kelantan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan unggas sempena Festival Unggas ASEAN 2025 di Taman Orkid Tengku Anis, di sini semalam.
Tambahnya lagi, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan para peminat unggas pada penganjuran sulung festival tersebut.
“Kami amat berpuas hati dengan sambutan yang menggalakkan dari para peminat unggas dari dalam dan luar negara.
“Penyertaannya hampir 1,000 peserta. Penyertaan tertinggi dari luar negara adalah dari Thailand iaitu sebanyak 100 penyertaan, diikuti Indonesia (10), Singapura (5) dan Brunei dua penyertaan,” katanya lagi.
Festival tersebut menampilkan lima kategori pertandingan iaitu burung ketitir, tekukur, candik, ayam serama dan ayam ratu.
Dalam festival tersebut, burung ketitir milik Sabri Abdul Latif dari Pattani, Thailand muncul juara kategori BB1 iaitu berusia enam bulan.
Turut hadir dalam majlis penyampaian hadiah itu ialah Pengarah Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC), Nik Mohd Fahmi Nik Daud dan wakil Persatuan Unggas Negeri Kelantan, Kamaruzaman Hasan. – HARAKAHDAILY 4/5/2025




















