Jangan sensasikan kes anak ditikam bapa kandung

Ahmad Fadhli ketika menziarahi dan mendengar pengkisahan dari pihak keluarga mangsa
- Advertisement -

PASIR MAS: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang cedera ditikam bapa kandungnya sendiri baru-baru ini mendapat perhatian Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Beliau berkata, pertemuan bersama waris mangsa semalam telah menyingkap cerita malang yang membelenggu keluarga terbabit, bahkan tidak sesuai diceritakan apatah lagi dihebohkan kepada orang awam.

“Banyak terungkap kisah tersirat yang tidak sesuai diperkatakan di khalayak, cukuplah sekadar kita menasihatan agar sama-sama tidak menjadikan cerita sensasi sebab tidak berada ditempat mereka.

“Beri ruang kepada keluarga fokus kepada pemulihan mangsa dan menangani isu dalaman ditambah pula ia sudah menjadi kes polis,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial, Facebook semalam.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu turut memetik hadis riwayat Imam Tarmizi bermaksud daripada keelokan Islam seseorang itu ialah dia meninggalkan perkara yang tidak ada kaitan dengannya.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dipercayai cedera ditikam oleh bapanya sendiri dalam satu kejadian di Kampung Banggol Che Dol, di sini pada Jumaat.

Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 8 pagi itu membabitkan lelaki berusia 40-an yang didakwa mempunyai masalah mental yang kini dalam tahanan pihak polis.

Mangsa anak bongsu daripada enam adik beradik itu, sedang menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu dekat sini, selepas dipercayai ditikam di bahagian perut. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

- Advertisement -