Manfaatkan peluang sebagai tetamu Allah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan ucapan tahniah kepada semua bakal haji dari negeri itu dan seluruh negara yang terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.

- Advertisement -

Baginda bertitah, peluang menjadi tetamu Allah di Baitullah adalah satu nikmat besar yang seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya dengan memperbanyakkan amalan ibadah wajib dan sunat.

“Ibadah haji merupakan ibadah yang memerlukan pengorbanan daripada segi wang ringgit, masa dan tenaga. Oleh itu, Beta menasihati para jemaah untuk menggunakan kesempatan menjadi tetamu Allah dengan sebaik-baiknya.

“Penuhi masa yang terluang dengan memperbanyakkan amalan wajib dan sunat seperti berzikir, membaca Al-Quran, berdoa dan bermunajat kepada Allah kerana peluang ini mungkin datang sekali seumur hidup,” titah baginda.

Titah Sultan Mizan itu dibacakan Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang mewakili ayahandanya sempena Majlis Pelepasan Bakal Jemaah Haji 2025 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini semalam.

Sultan Mizan bertitah, perhimpunan terbesar umat Islam di Tanah Suci juga mengajar nilai-nilai kesabaran, toleransi dan semangat saling membantu tanpa mengira latar belakang budaya, bahasa dan kaum.

“Beta berharap jemaah haji menjaga adab dan menjauhi segala anasir tidak sihat yang boleh menjejaskan imej serta nama baik negara dan hubungan baik Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Beta berharap agar semua jemaah haji dapat mematuhi dan menghormati peraturan serta undang- undang Kerajaan Arab Saudi dengan mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang boleh mencemar imej jemaah haji Malaysia sebagai jemaah haji yang berdisiplin dan beradab,” titih baginda.

Dalam masa sama, baginda menyeru para jemaah supaya mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negeri Terengganu serta negara yang sedang berdepan pelbagai musibah seperti banjir, kebakaran dan kemalangan.

“Beta meminta semua jemaah haji untuk berdoa ketika di Tanah Suci nanti, memohon agar negeri Terengganu terus diberkati, dilimpahi kesejahteraan berpanjangan.

“Doakan saudara-saudara kita di seluruh negara yang diuji oleh Allah dengan musibah seperti banjir, kebakaran atau kemalangan terus diberikan kesabaran dalam menghadapi ujian yang pastinya ada hikmah terbaik disediakan oleh Allah SWT.

“Doakan juga saudara-saudara seIslam kita di Palestin dan negara Islam lain yang masih dalam kesukaran agar diberikan kesabaran dan semoga Allah juga memberikan mereka nikmat keamanan,” titah baginda lagi.

Sultan Mizan turut menasihatkan jemaah agar menjaga kesihatan dan kebersihan diri sepanjang berada di Tanah Suci serta merakamkan penghargaan kepada Tabung Haji atas komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan jemaah haji setiap tahun.

“Beta ingin mengucapkan tahniah kepada semua bakal haji yang terpilih menjadi tetamu Allah ke Baitullah pada tahun ini. Insya-Allah mudah-mudahan ibadah haji yang akan dikerjakan menjadi ibadah yang meningkatkan lagi iman dan takwa.

“Beta mengambil kesempatan ini, untuk menasihatkan supaya jemaah haji mengambil berat serta menjaga kesihatan dan kebersihan diri sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

“Beta juga ingin mengucapkan syabas kepada Tabung Haji di atas komitmen yang diberikan kepada Jemaah Haji dalam usaha mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan setiap tahu,” titah baginda.

Baginda dan Sultanah Terengganu turut mendoakan agar semua jemaah dapat menunaikan ibadah dengan sempurna serta kembali ke tanah air sebagai haji yang mabrur. – HARAKAHDAILY 4/5/2025

- Advertisement -