
KUALA KRAI: Kerajaan negeri berhasrat menjadikan program cabaran 4×4 Kuala Krai sebagai acara tahunan bagi mempromosikan acara sukan lasak dengan lebih meluas di Kelantan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah berkata, menjadi komitmen kerajaan negeri untuk mempelbagaikan aktiviti belia agar tidak terjebak gejala sosial.
Beliau berkata, cabaran pacuan empat roda itu turut membuka peluang dan mengembangkan potensi anak muda tempatan dalam aktiviti memerlukan semangat waja, berani dan kreatif.
“Semoga program 4×4 Off Road Challenge ini dapat dijadikan acara tahunan kita bagi mempromosikan sukan lasak ini secara lebih meluas terbukti menarik penyertaan.
“Ini dapat mengembangkan potensi anak muda tempatan selain dapat memperkenalkan keunikan dan keindahan alam semulajadi yang ada di negeri Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada juara Cabaran 4×4 Kuala Krai 2025 yang diadakan di sini semalam.
Penganjuran kali pertama acara itu mendapat sokongan kerajaan negeri dan diadakan di Dataran Hijau, Kampung Laloh di sini mendapat penyertaan tempatan dan antarabangsa.
Malah Hilmi merangkap Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar berkata, ia menjadi acara yang diadakan saban tahun bagi Kelab 4×4 Barracuda dan Lacar Group.
Namun bagi tahun ini katanya, ia mendapat kerjasama dari Pertubuhan Anak Kuala Krai Sejahtera (PASAK) dan tajaan wakil kerajaan negeri, Urusetia Belia dan Sukan (U-BeS).
Selain itu acara itu turut mendapat penajaan daripada pelbagai syarikat korporat, kelab-kelab permotoran, bengkel dan kedai spareparts dan juga sumbangan ahli-ahli kelab dan individu.
Seramai 190 pemandu mewakili 36 pasukan tempatan dan antarabangsa bertarung merebut hadiah dalam kategori berkumpulan dan ‘open hardcore’ pacuan empat roda.
“Sukan lasak serba mencabar ini telah disertai oleh seramai 190 orang pemandu dan krew yang mewakili 16 pasukan kategori berkumpulan dan 20 pasukan kategori ‘open hardcore’.
“Mereka bersama 80 buah kenderaan pacuan empat roda yang hadir dari pelbagai negeri termasuk Terengganu, Pahang, Perak dan rakan kita dari Pattaya, Thailand,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025












