
KOTA BHARU: Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi bekerjasama tiga agensi negeri bagi mempercepatkan transformasi digital.
Tiga agensi terbabit seperti Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat (BPTM) dan Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd (KIGSB).
Pengerusinya, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat dalam satu hantaran di laman sosial, Facebooknya hari ini berkata, menjadi kesungguhan kerajaan negeri memperkasakan sektor tersebut.
“Kerjasama erat tiga agensi ini diharap dapat mempercepatkan transformasi digital, selaras dengan aspirasi negeri menjadi peneraju ekonomi digital di Malaysia menjelang 2030,” katanya.
Terdahulu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu mempengerusikan satu Mesyuarat Perancangan Digital Negeri Kelantan di pejabatnya di sini hari ini.
Turut hadir sama Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi merangkap ADUN Gual Periok, Kamaruzaman Mohamad.
Media sebelum ini melaporkan Kelantan mempunyai Ruang Daya Cipta (RDC) kedua selepas yang pertama di Tumpat, kini beroperasi sepenuhnya kepada orang ramai.
Ia menjadi wadah bagi menyediakan akses teknologi, inovasi dan latihan keusahawanan termasuk menyediakan kecerdasan buatan (AI) internet pelbagai benda (IoT) dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 4/5/2025




















