
KANGAR: Banjaran Nakawan yang menjadi antara khazanah semula jadi terindah di utara Semenanjung bakal menjadi tumpuan utama sektor pelancongan negeri Perlis bagi tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Warisan Negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, kawasan itu mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan utama yang mampu menarik kehadiran dalam dan luar negara.
“Banjaran Nakawan ini bermula dari Wang Gunung hingga ke Kampung Wai di Kuala Perlis. Di sini terdapat pelbagai tarikan semula jadi seperti formasi batu kapur yang saya yakin antara tercantik di Malaysia, lebih 1,000 gua yang masih belum diterokai, serta tiga tasik biru yang cukup memukau.
“Ini semua adalah aset pelancongan yang sangat bernilai dan kita akan promosikan kawasan ini secara menyeluruh tahun ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sesi Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
Menurut Abu Bakar, statistik awal tahun menunjukkan Perlis menerima kehadiran hampir sejuta pelawat dalam tempoh Januari dan Februari sahaja angka yang mengejutkan dan amat memberangsangkan bagi sebuah negeri kecil seperti Perlis.
“Kita lihat dua bulan pertama tahun ini, hampir sejuta orang hadir ke Perlis, khususnya semasa musim cuti dan perayaan. Ini petanda positif bahawa Perlis semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong,” jelas beliau.
Katanya lagi, kejayaan ini adalah hasil usaha promosi berterusan yang dilakukan kerajaan negeri bersama agensi-agensi berkaitan serta sokongan daripada pemain industri pelancongan tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyaran rakyat negeri ini untuk merebut peluang yang ada dalam sektor pelancongan sedang berkembang pesat ini.
“Kita mahu rakyat Perlis ambil peluang untuk jana pendapatan. Aspek kebersihan, keramahan, kecantikan persekitaran dan kadar harga berpatutan adalah antara faktor yang akan menentukan keselesaan pelancong untuk datang semula ke Perlis.
“Kita kena pastikan pelancong rasa selesa, harga makanan dan perkhidmatan tidak melambung, dan mereka disambut dengan senyuman. Sikap mesra dan hemoi rakyat Perlis ini juga adalah ‘tarikan’ yang tidak boleh dibeli,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2025




















