
KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak yang tidak mampu bersaing dengan status profesional dalam Liga Super Malaysia perlu dipertimbangkan untuk kembali ke status semi-profesional.
Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, ia adalah lebih baik pasukan berundur secara terhormat daripada terus memikul beban kewangan seperti tunggakan gaji dan hutang.
“Perak FC telah menarik diri dari Liga Super dan Sri Pahang dikatakan bakal menurut jejak mereka. Jika tidak mampu bertahan menjadi kelab profesional, ini mungkin tindakan terbaik.
“Ia lebih baik dari tidak dapat membayar gaji pemain atau menanggung hutang,” katanya memberikan pandangan menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Dato’ Iskandar menekankan bahawa semangat perjuangan dalam bola sepak tidak semestinya terhenti apabila sesebuah pasukan tidak lagi bersaing di peringkat tertinggi.
“Jika tidak boleh menjadi profesional, ini tidak bermakna peminat-peminat akan hampa. Perjuangan boleh diteruskan sebagai semi-pro seperti tahun-tahun 80-an dan 90-an,” katanya.
Beliau merujuk kepada Liga Semi-Pro A1 (Kejuaraan MBSB Bank) yang turut menyediakan peluang untuk pasukan bertanding dalam kejohanan utama seperti Piala Malaysia.
“Pada musim 2024 hingga 2025, tiga pasukan semi-pro telah berpeluang menyertai saingan piala itu, tetapi untuk menarik peminat ke stadium, wujudkan liga semi-pro khusus untuk pasukan yang berasaskan negeri atau yang setaraf dengannya.
“Seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Perlawanan menentang pasukan majlis perbandaran, universiti, bank, jabatan kerajaan atau kelab-kelab peringkat daerah tidak akan menarik peminat ke stadium,” katanya.
Terdahulu, Juara Piala Malaysia lapan kali, Perak FC, secara rasmi menarik diri daripada saingan Liga Super musim depan akibat masalah kewangan yang berpanjangan.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi, telah mengesahkan perkara itu dan memaklumkan bahawa segala usaha telah dilakukan untuk membangunkan skuad The Bos Gaurus termasuk membelanjakan hampir RM40 juta dalam tempoh tiga tahun.
“Berat hati untuk kami menyatakan perkara ini, namun masanya sudah tiba. Kami secara rasmi menarik diri daripada Liga Super musim depan dan menamatkan perjalanan Perak FC,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/4/2025











