Kerajaan negeri bantu mangsa kebakaran Kg Kijang

- Advertisement -

PENGKALAN CHEPA: Lapan keluarga yang terjejas dalam kejadian kebakaran di Kampung Kijang, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) menerima sumbangan segera daripada kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah.

- Advertisement -

Sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud semasa menziarahi mangsa di tempat kejadian, di sini semalam.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 5:30 petang selepas berakhir Syawal itu, sebanyak lapan buah rumah musnah, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Nassuruddin berkata, kerajaan negeri akan terus berusaha menyalurkan bantuan susulan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa.

“Buat masa ini sumbangan segera daripada Tabung Serambi Mekah telah disampaikan kepada mangsa. In syaa Allah bantuan susulan akan diusahakan bagi membantu meringankan beban mereka dan membina kembali kehidupan yang lebih baik.

“Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa yang berlaku, namun kehilangan rumah dan harta benda bukan sesuatu yang mudah untuk ditanggung.

“Saya doakan mereka diberi kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian ini dan digantikan segala kehilangan dengan ganjaran yang lebih baik,” katanya menerusi hantaran di laman sosial beliau pada Selasa.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang yang juga Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Izani Husin turut merakam ucapan takziah dan simpati kepada semua mangsa terjejas.

Beliau turut mengajak orang ramai untuk bersama-sama membantu meringankan beban keluarga yang terlibat.

“Insya Allah pihak kami juga akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan kebajikan keluarga mangsa terpelihara.

“Untuk itu, pihak kami membuka satu tabung untuk semua pihak menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa kebakaran tersebut,” katanya dalam satu catatan media sosial, semalam.

Terdahulu mangsa kebakaran juga menerima ziarah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ustaz Marzuk Shaary dan Exco Kebajikan Negeri, Rohani Ibrahim yang telah hadir menyampaikan sumbangan awal serta kata-kata penguat semangat.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan bantuan ke akaun Tabung Amal DUN Kijang (Bank Islam) bernombor 0303 6010 0323 44 dengan rujukan ‘kebakaran’.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada talian 019-5230438 (Marian) atau 017-4840546 (Rohana). – HARAKAHDAILY 30/4/2025

- Advertisement -